
Persenda lagu Negaraku… MCMC ambil keterangan dua individu
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merakam keterangan dua individu bagi membantu siasatan berhubung tular klip video didakwa mempersenda dan tidak menghormati lagu kebangsaan, Negaraku.
SKMM dalam kenyataan berkata sesi rakaman keterangan dijalankan di Ibu Pejabat SKMM, Cyberjaya, semalam.
“Turut disita bagi tujuan siasatan ialah sebuah telefon bimbit dan sekeping kad SIM.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” menurut kenyataan itu.
SKMM menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan mempersenda atau mempelekeh lagu kebangsaan, selaras dengan Seksyen 8 Akta Lagu Kebangsaan 1968 yang mewajibkan setiap warganegara menghormati Negaraku.
“Orang ramai diingatkan untuk sentiasa menghormati lagu kebangsaan sebagai tanda kesetiaan dan cinta kepada tanah air, serta mengelak daripada melakukan atau menyebarkan apa-apa perbuatan yang boleh dianggap tidak menghormatinya,” katanya.
Isnin lalu, seorang pempengaruh memohon maaf atas tindakannya yang merakam video dan dilihat sedang bergurau ketika lagu kebangsaan dimainkan di sebuah acara.
Choo Hao Ren mengakui bahawa tindakannya tidak wajar dan dia sepatutnya menyanyikan lagu kebangsaan dengan khusyuk dan hormat.-13/8/2025