
Jabatan Peguam Negara arah prosiding inkues kes kematian Zara Qairina
Kes kematian misteri Zara Qairina Mahathir,13 hadapi perkembangan terbaru pada Rabu.
Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan supaya satu prosiding inkues dilaksanakan berhubung kes yang berlaku pada 16 Julai di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar,Sabah.
Dalam kenyataannya AGC berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam.
Menurut AGC, ia selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593].
“Prosiding inkues ini bertujuan untuk menentukan punca dan sebab kematian termasuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya dalam kematian Zara Qairina.
“Proses ini akan dikendalikan oleh Mahkamah Koroner secara bebas dan telus mengikut peruntukan undang-undang,’’ katanya.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan, pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) serta semua warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha akan ditempatkan di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah sehingga siasatan polis berhubung kes kematian Zara Qairina selesai.
KPM berkata, keputusan itu diambil susulan pengumuman Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa Pasukan Petugas Khas Bukit Aman telah mengambil alih siasatan kes berkenaan.
Sabtu lalu, jenazahnya digali semula berikutan arahan Jabatan Peguam Negara yang berpendapat siasatan lanjut yang lebih menyeluruh perlu dijalankan.
Proses bedah siasat jenazah pelajar yan berasal dari Sipitang selesai dilaksanakan di HQE I dan jenazahnya dikebumikan semula pada awal pagi Isnin. – 13/8/2025