
Projek perumahan ‘sakit’ meningkat… Selangor, Johor antara paling tinggi
Jumlah projek perumahan ‘sakit’ di Malaysia terus meningkat kepada 360 projek membabitkan 59,436 unit rumah dengan nilai pembangunan kasar keseluruhan (GDV) mencecah RM59.31 bilion setakat 30 Jun 2025.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu berkata data terkini menunjukkan peningkatan 3.15 peratus berbanding Mei 2025 yang mencatat 349 projek ‘sakit’.
Menurutnya, perbandingan tiga bulan lalu, terdapat trend projek ‘sakit’ yang meningkat secara tekal merangkumi April (339); Mei (349); dan Jun (360), manakala projek lewat dan terbengkalai mencatat penurunan.
“Sebanyak 233 projek perumahan lewat membabitkan 39,469 unit rumah bernilai GDV RM35.55 bilion direkodkan, menurun daripada 243 projek (39,844 unit) membabitkan RM42.64 bilion pada Mei.
“Projek terbengkalai pula turun kepada 109 projek merangkumi 30,027 unit rumah dengan GDV RM12.96 bilion berbanding 112 bulan sebelumnya.
“Antara negeri yang merekodkan projek perumahan bermasalah iaitu lewat, ‘sakit’ dan terbengkalai adalah Selangor, Johor, Perak dan Pahang,” katanya pada sidang media di Parlimen pada 13 Ogos, lapor Harian Metro.
Mengulas lanjut, Aiman Athirah berkata Pasukan Petugas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) memperluaskan bantuan serta campur tangan merangkumi projek tidak dilesenkan di bawah KPKT bagi menyelesaikan isu berkenaan.
“Dulu kita hanya beri perhatian kepada projek perumahan swasta yang ada lesen dengan KPKT tetapi pada masa ini ada projek yang tidak ada lesen turut dibantu.
“Ini berdasarkan perhatian kita, mereka juga perlukan bantuan untuk selesaikan pelbagai isu berkaitan projek.
“Selain itu, kita turut mempergiatkan campur tangan bagi projek sekarang yang berstatus lewat sebelum ia (masuk kategori) ‘sakit’ dan terbengkalai,” katanya.
TFST juga ujarnya mengadakan lawatan tapak hampir setiap bulan merangkumi semua projek perumahan di seluruh negara.
“KPKT baru-baru ini juga berjaya menyelesaikan pembangunan projek perumahan swasta yang terbengkalai sejak 30 tahun lalu.
“Sebanyak 1,171 projek perumahan swasta berjaya dipulihkan membabitkan 139,848 unit rumah dengan GDV berjumlah RM113.55 bilion,” katanya.-14/8/2025