
Rafizi percaya serangan suntikan jarum terhadap anaknya satu amaran jangan lantang bersuara…
Bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli percaya serangan keatas anaknya yang dicucuk dengan jarum suntikan di sebuah pusat membeli belah di Putrajaya, tengah hari Rabu satu amaran kepada beliau supaya tidak bersuara lantang dalam beberapa isu tertentu.
Kejadian sekitar jam 1.45 petang ini itu berlaku semasa anak dan isterinya memasuki kereta untuk meninggalkan sebuah pusat membeli belah itu.
“Secara tiba-tiba seorang lelaki mengheret anak saya dan mencucuknya dengan jarum suntikan.,”katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik di laman facebooknya.
Bekas Timbalan Presiden PKR dan Ahli Parlimen Pandan itu beritahu serangan itu melibatkan dua orang lelaki yang berpakaian hitam sepenuhnya dan bertopi keledar yang menutup muka keseluruhannya.
Katanya mereka telah menunggu lebih awal dan bergegas menyerang anaknya pada ketika yang sesuai.
“Anak saya telah dibawa segera ke Hospital UPM untuk rawatan.
“Pihak polis juga telah berada di tempat kejadian sejurus kejadian. Saya dan keluarga saya telah pun memberi kenyataan kepada pihak polis.
“Sebarang maklumat lanjut mengenai kejadian, siasatan dan keputusan pemeriksaan doktor sewajarnya dikeluarkan oleh pihak polis dan Hospital UPM.
“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak PDRM dan Hospital UPM yang telah membantu keluarga saya melalui kejadian ini.
“Sepanjang saya menjadi seorang ahli politik berprofail awam, inilah kali pertama keluarga saya menjadi sasaran serangan dan ugutan seperti ini. Saya percaya serangan ini adalah satu amaran kepada saya supaya tidak bersuara lantang dalam beberapa isu tertentu.
“Insya Allah, sementara saya akan mengambil langkah susulan untuk meningkatkan kawalan keselamatan, saya juga tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan dan akan terus menjalankan tugas saya seperti biasa,”tegasnya.
Sementara itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyatan kata beliau telah menghubungi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk memastikan siasatan kes serangan anak Rafizi berjalan dengan telus dan dengan kadar segera.
Tegasnya insiden serangan itu adalah satu percubaan jahat dan khianat terhadap Rafizi.
“Kita masih belum reda dari gejala buli di sekolah, muncul pula satu lagi tindakan yang sangat dikesalkan. Mutakhir adalah percubaan jahat dan khianat terhadap anakanda saudara Rafizi.
“Saya telah menghubungi Saifuddin Nasution bagi memastikan siasatan telus dan segera. Mendoakan kesejahteraan yang terbaik buat saudara Rafizi serta keluarga,” katanya.
Saifuddin pula memberitahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah digerakkan untuk menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden serangan terhadap anak Rafizi Ramli di Putrajaya.
Pihaknya pihaknya memandang serius kejadian tersebut dan menegaskan PDRM akan mengenal pasti serta membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
“Perlu saya tegaskan juga bahawa semua siasatan dijalankan secara adil dan berlandaskan undang-undang, tanpa dipengaruhi oleh status atau latar belakang mana-mana pihak, selaras dengan tanggungjawab PDRM memastikan keselamatan dan keadilan untuk semua rakyat termasuk kanak-kanak,” katanya.
Beliau memaklumkan telah menghubungi sendiri Rafizi sejurus dimaklumkan mengenai kejadian itu, selain merakamkan simpati dan keprihatinan mendalam kepada beliau serta keluarga.- 13/8/2025