SUARA PEMBACA

PN solidariti dengan Rafizi, kecam serangan terhadap kanak-kanak

Perikatan Nasional (PN) mengecam sekeras-kerasnya insiden serangan terhadap anak bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang dilaporkan berlaku di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada Rabu.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tindakan itu merupakan jenayah yang tidak boleh diterima sama sekali dalam sebuah negara bertamadun apatah lagi apabila ia melibatkan kanak-kanak yang tidak wajar menjadi mangsa.

Katanya, PN juga mengambil maklum kenyataan Rafizi bahawa serangan tersebut dipercayai sebagai amaran supaya beliau tidak lagi bersuara lantang berhubung beberapa isu tertentu.

“Jika benar telahan ini, ia menandakan perkembangan politik samseng yang amat tidak sihat dan berbahaya kepada landskap demokrasi negara.

“Perbezaan pandangan politik tidak seharusnya diterjemahkan kepada ancaman atau keganasan fizikal,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Anak Rafizi terdahulu dilapor diserang dengan cara diheret dan disuntik dengan jarum suntikan sekitar jam 1.45 petang.

Rafizi berkata, kejadian berlaku ketika beliau, isteri dan anaknya mahu memasuki kereta untuk meninggalkan pusat beli-belah berkenaan.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, PN turut menzahirkan sokongan moral penuh kepada Rafizi dan keluarganya selain mendoakan agar anak beliau pulih sepenuhnya daripada sebarang kesan fizikal dan trauma akibat kejadian tersebut.

“PN juga menyeru seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa bertenang dan matang dalam menghadapi situasi ini.

“Rakyat jangan sesekali terpengaruh dengan sebarang bentuk provokasi atau andaian yang mungkin sengaja dicetuskan untuk memecah-belahkan keharmonian masyarakat. Kestabilan dan keamanan negara ialah tanggungjawab kita bersama,” ujarnya.

Takiyuddin menegaskan, PN turut menggesa pihak polis menjalankan siasatan segera, telus dan menyeluruh terhadap kejadian tersebut.

Katanya, pelaku jenayah berkenaan mesti dibawa ke muka pengadilan dan dikenakan tindakan undang-undang yang tegas sebagai isyarat jelas bahawa sebarang bentuk keganasan terutama terhadap kanak-kanak tidak mempunyai tempat di bumi Malaysia.-14/8/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button