
PM sedia mohon maaf kepada Muhyiddin…
Nampaknya bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu risau dalam bab ini.
Hari ini Perdana Menteri Datuk Sri Anwar Ibrahim sudah beri pengakuan di Dewan Rakyat.
Anwar kata jika ia satu kesilapan beliau dakwa Ahli Parlimen Pagoh itu ada buat kenyataan mempertahankan pemberian subsidi RON95 kepada warga asing beliau sedia memohon maaf.
Hal ini berbangkit ketika Ahli arlimen Tambun itu menjawab pertanyaan Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang meminta penjelasan apakah beliau akan memohon maaf kepada Muhyiddin.
Anwar kata beliau masih menunggu hasil siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menentukan sama ada sumber maklumat yang dirujuk itu palsu atau sebaliknya.
“Saya tiada masalah, kalau dipastikan tidak ada sumber yang sahih, itu satu kesilapan, saya tak ada masalah (untuk memohon maaf).
“Tolong siasat 1,2,3 ni apakah sahih, kalau tak sahih maka kenyataan itu memang tak benar, tapi tunggu keputusan MCMC dulu,” katanya.
Anwar telah arah MCMC buat siasatan selepas Muhyiddin menafikan beliau ada buat kenyataan seperti didakwa.
Beliau juga minta Perdana Menteri mohon maaf jika dakwaan tidak benar.
“Saya cuma minta Tambun (Anwar) mohon maaf dan tarik baliklah keterlanjuran kata-kata beliau yang telah menyebabkan fitnah ke atas diri saya.
“Saya akan terima maaf dia sekarang juga,” katanya dalam perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat.- 14/8/2025