FOKUS

Hasut kebencian…PM bagi arahan tindakan tegas mesti dan wajib diambil

“Oleh itu hari ini bukan amaran, hari ini bukan teguran, hari ini saya menyatakan untuk menyelamatkan negara ini tindakan tegas mesti dan wajib diambil.”

Arahan itu disuarakan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Anwar merujuk insiden-insiden terkini yang berkaitan kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir di Sabah, serta isu kesilapan memaparkan Jalur Gemilang.

Katanya isu-isu tersebut telah dijadikan agenda oleh pihak tertentu untuk membangkitkan sentimen politik dengan merendah-rendahkan dan menghukum pihak lain tanpa berasaskan kebenaran dan fakta.

Perdana menteri menegaskan pihak berkuasa mesti mengambil tindakan terhadap mereka yang mengapi-apikan sentimen perpecahan tanpa mengira status atau kedudukan.

“Kalau ada rakan-rakan yang punyai amanah tidak bersedia… beritahu saya, kita tukar mereka ambil orang yang berprinsip tegas dan berani bertindak ” kata Anwar.

Anwar berkata arahan itu dikeluarkan bukan demi meraih populariti, sebaliknya bagi mengelakkan berlakunya huru-hara seperti yang pernah terjadi pada masa lalu.

“Ini bukan saingan populariti, bukan saingan siapa yang lebih popular, siapa yang sanggup menarik minat rakyat. Ini soal menyelamatkan negara.

“Sudah tahu kita ada pengalaman bibit-bibit perpecahan dan tragedi rusuhan kaum mulanya kecil.

“Kali ini mungkin bendera, dulu mungkin siaran berita-berita palsu. Jangan diizinkan, mana boleh negara begitu,” katanya.

Dalam pada itu Anwar menegur sesetengah pihak yang melemparkan dakwaan secara melulu dalam kes-kes masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Tegasnya, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana negara ini memiliki sistem perundangan yang perlu dipatuhi dan dihormati.

“Dalam keadaan siasatan serahkan kepada kebijaksanaan pihak berkuasa, ini belum apa-apa sudah tudingan, anak VVIP ini, orang ini, apa ini? Kita ini siapa?

“Tutup saja pejabat-pejabat polis semua, kalau dah semua keputusan kita boleh buat tanpa siasatan. Jadi harus ada siasatan segera telus, adil dan terbuka.

“Jangan pakai hukum semberono, tak layak jadi pegawai tak layak jadi seorang tokoh, kalau hanya terus menghukum tanpa apa-apa fakta kerana kita benci, kerana sejarah tertentu,” katanya.- 15/8/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button