
Kenyataan Jabatan Peguam Negara mengenai isu bendera Jalur Gemilang
Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Jumaat mengeluarkan satu kenyataan mengingatkan semua pihak tidak ambil tindakan sendiri dalam isu kesilapan paparan, pemasangan bendera
Tindakan sendiri itu termasuk menyerbu premis yang disyaki; menularkan maklumat peribadi atau membuat tuduhan melulu di media sosial; mencetuskan provokasi atau ugutan terhadap individu atau organisasi terlibat; dan mengambil alih peranan pihak berkuasa seperti mengarah penurunan bendera atau menyita bahan terlibat tanpa kuasa undang-undang.
Menurut AGC, segala aduan atau maklumat berkaitan hendaklah disalurkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya, selaras dengan prinsip kedaulatan
undang-undang.
“Jabatan Peguam Negara memandang serius sebarang perbuatan memaparkan, mengibarkan atau memasang bendera Malaysia secara tidak teratur atau tidak mengikut tatacara yang sepatutnya.
“Antara kejadian yang dimaksudkan adalah seperti pemasangan bendera Malaysia secara terbalik di sebuah kedai di Kepala Batas, Pulau Pinang; pemasangan bendera Malaysia secara terbalik di sebuah sekolah di Port Dickson, Negeri Sembilan; pemaparan bendera Malaysia yang tidak lengkap dalam buku laporan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia 2024; dan Pemaparan bendera yang tidak lengkap dalam akaun media sosial rasmi milik akhbar Sin Chew Daily, Kwong Wah Yit Poh dan Harian Metro,” jelas AGC.
AGC menegaskan bahawa semua pihak bertanggungjawab untuk menghormati bendera Malaysia sebagai simbol kedaulatan negara, seta mematuhi undang-undang dan garis panduan yang berkuat kuasa berkaitan penggunaannya.
Menurut AGC, sebarang kesalahan berkaitan pemasangan atau pemaparan bender Malaysia secara tidak wajar yang boleh menimbulkan kekeliruan, salah faham atau kegusaran awam boleh dikenakan tindakan undang-undang.- 15/8/2025