FOKUS

Penjelasan Jabatan Peguam Negara mengenai dakwaan keatas lima remaja kes Zara Qairina

Jangan salah faham bab lima remaja yang akan didakwa di mahkamah Kanak Kanak Kota Kinabalu dalam kes Zara Qairina Mahathir esok, Rabu.

Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Selasa mengeluarkan kenyataan menjelaskan tuduhan yang mereka hadapi ialah berkaitan kes membuli dan bukan berkaitan dengan menyebabkan kematiannya.

Penjelasan ini dibuat selepas peguam yang mewakili keluarga Zara menggesa Peguam Negara menimbang semula keputusannya dan mendakwa remaja terbabit di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan, yang meliputi kesalahan mendorong seseorang hingga menyebabkan kecederaan pada dirinya sendiri atau orang lain.

“Berdasarkan penelitian Jabatan ini terhadap kertas siasatan, pertuduhan di bawah seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dibuat kerana pertuduhan ini merujuk kepada perbuatan buli sahaja dan tidak mempunyai kaitan dengan kematian Zara Qairina.

“Kenyataan peguam di perenggan empat pada kenyataan media tersebut adalah bersifat spekulatif tanpa disokong oleh fakta yang tepat.

“Oleh yang demikian, Jabatan ini sekali lagi menegaskan bahawa pertuduhan di bawah seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan di dalam kes ini adalah bersandarkan kepada bukti dan fakta yang diperoleh hasil daripada siasatan yang dijalankan.

“Dalam hal tersebut, prosiding inkues masih perlu dijalankan bagi menentukan punca kematian sebenar Zara Qairina.” kata AGC.

Seksyen 507C(1) meliputi kesalahan menggunakan atau mengeluarkan kata-kata atau komunikasi yang mengugut, menghina, atau bersifat kasar – yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Hukuman di bawah Seksyen 507D(2) pula memperuntukkan hukuman serupa bagi kesalahan mendorong seseorang hingga menyebabkan kecederaan, tetapi tempoh penjara boleh meningkat sehingga 10 tahun jika mangsa cuba membunuh diri atau membunuh diri akibat dorongan tersebut.

Terdahulu hari ini, pasukan peguam yang mewakili keluarga Zara menggesa AGC mendakwa lima remaja tersebut dengan pertuduhan yang lebih serius.- 19/8/2025

Kes Zara Qairina…5 remaja perempuan akan didakwa di mahkamah Rabu ini

Kes kematian misteri Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang ditemui dalam longkang di asrama sekolahnya di Papar,Sabah pada 16 Julai lalu kini ‘semakin jelas’.

Khabar yang menjadi tandatanya ramai sudah menjelma.

Hari ini Isnin 18 Ogos, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar beritahu lima remaja perempuan bakal dihadapkan ke Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu pada Rabu ini.

Lima yang berkenaan adalah pelajar di sekolah yang sama

Mereka akan didakwa atas tuduhan mengugut dengan mengeluarkan perkataan bersifat mengancam.

Beliau mengesahkan pertuduhan ke atas lima remaja bawah 18 tahun itu adalah mengikut Seksyen 507c(1) Kanun Keseksaan.

Untuk rekod…Prosiding di Mahkamah Kanak-Kanak lazimnya dilakukan secara tertutup.

Pertuduhan terbabit adalah berhubung menyebabkan gangguan, tekanan, ketakutan atau kebimbangan kepada seseorang yang berkemungkinan berasa terganggu, tertekan, takut atau cemas.

Seksyen berkenaan menyebut, sesiapa dengan apa cara atau melalui apa-apa kaedah, menggunakan atau membuat ugutan dengan mengeluarkan perkataan atau komunikasi bersifat mengancam, menghina atau mengaibkan, atau melakukan apa-apa perbuatan yang mengancam, menghina atau mengaibkan.

Selain itu, perkataan, komunikasi atau perbuatan itu didengar, dilihat atau sebaliknya disedari oleh seseorang yang berkemungkinan berasa diganggu, tertekan, takut atau cemas akibat daripada itu, boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya. – 18/8/2025

BERITA SEBELUM INI:

Beberapa orang disyaki terlibat kes buli Zara Qairina akan didakwa di mahkamah

Selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) meneliti kertas siasatan kes kematian Zara Qairina Mahathir yang telah dirujuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada hari ini… beberapa orang yang disyaki terlibat dalam kes buli pelajar itu akan dituduh di mahkamah.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dalam kenyataan hari ini kata keputusan untuk menuduh suspek-suspek yang terlibat bagi kesalahan buli itu tidak akan mengganggu proses inkues yang akan berjalan.

“AGC telah membuat keputusan untuk menuduh beberapa orang suspek yang terlibat dalam kes buli Zara Qairina berdasarkan keterangan yang ada.

“Jabatan ini menegaskan bahawa walaupun keputusan untuk menuduh suspek-suspek bagi kesalahan buli dibuat, namun keputusan tersebut tidak akan menjejaskan siasatan yang masih dijalankan oleh PDRM berhubung kes kematian Zara Qairina termasuk prosiding inkues yang akan dijalankan di mahkamah,” katanya.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan PDRM telah menyerahkan kertas siasatan berkaitan kematian Zara Qairina kepada AGC, pagi tadi untuk meneruskan proses seterusnya.

Katanya, kertas siasatan itu diserahkan selepas soal siasat terhadap 195 saksi dibuat.

“Pagi tadi pihak polis sudah menyerahkan kepada Peguam Negara dan sekarang kita tunggu keputusan sama ada yakin dengan hasil siasatan untuk meneruskan apakah proses seterusnya,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar memaklumkan Bukit Aman akan merujuk semula kertas siasatan kematian Zara Qairina ke AGC hari ini, bertujuan mendapatkan nasihat dan arahan susulan, hasil siasatan lanjut dijalankan pihaknya.

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai, selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah berkenaan pada pagi 16 Julai.-18/8/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button