FOKUS

Isu perarakan bantah bendera Jalur Gemilang dipamer terbalik…Dr Akmal akan didakwa Jumaat ini

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang mengetuai lebih 300 individu dalam satu perarakan di Bertam,Kepala Batas pada 14 Ogos lalu bagi membantah tindakan sebuah kedai perkakasan pamerkan bendera negara secara terbalik akan dihadapkan ke mahkamah pada 22 Ogos ini.

Beliau berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan dan kegentaran kepada awam di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di Pulau Pinang.

Dalam pada itu…Ketua Pemuda parti Bersatu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia,Selangor Hilman Idham yang menyertai perarakan berkenaan akan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi esok,Rabu dibawah Seksyen sama.

Selain mereka…dua individu lain Siti Hajar Aflah Sharuddin akan berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, manakala Chandrasegaran a/l Subramaniam pula akan dituduh mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dr Akmal yang kini berada di Mekah untuk tunai umrah mengesahkan beliau akan berdepan pertuduhan itu Jumaat ini.

Menerusi akaun Facebooknya, Dr Akmal memaklumkan beliau sudah dihubungi pihak polis mengenai pendakwaan itu.

Justeru, beliau akan memendekkan perjalanan umrahnya untuk menghadiri pertuduhan itu.

“Memandangkan saya baru tiba di Makkah untuk menunaikan umrah semalam, saya akan memendekkan ziarah umrah dan pulang ke tanah air… insya-Allah saya akan hadir ke mahkamah pada 22 Ogos, jam 8 pagi.

“Saya memohon doa daripada rakyat Malaysia untuk berdoa agar Allah mempermudah urusan saya di mahkamah nanti.

“Jika ini harga yang perlu dibayar untuk memartabatkan kedaulatan negara, saya tidak akan bergerak walau seinci pun untuk mengaku kalah. Saya akan lawan di mahkamah,” katanya melalui video dimuat naik.

Seramai kira kira 300 orang daripada UMNO, BERSATU dan PAS menyertai perarakan sejauh 1.4 kilometer di Bertam yang diketuai Dr Akmal itu.

Sebelum itu polis meminta orangramai tidak menyertai himpunan perarakan di situ.

Pada 15 Ogos lalu Dr Akmal dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi,Kuala Lumpur untuk diambil keterangan berhubung himpunan itu yang berakhir pada jam 2 pagi hari berikutnya.

DAP telah mengarahkan sayap Pemudanya (DAPSY) di seluruh negara membuat laporan polis terhadap tindakan pemimpin muda UMNO itu.- 19 /8/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button