YANG VIRAL

TMJ ziarah mangsa buli, tuntut sekolah jadi kawasan selamat

Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, telah melawat seorang murid berusia 10 tahun yang menjadi mangsa kes buli hingga mengalami kecederaan serius di kepala.

Lawatan itu turut disertai oleh anaknya, Raja Muda Johor, Tunku Iskandar Tunku Ismail, yang sama-sama menzahirkan keprihatinan terhadap mangsa serta keluarganya.

Mangsa, Izzul Islam Azuan Isaidi, kini dirawat di Hospital KPJ Puteri, Johor Bahru selepas dilaporkan mengalami gegaran otak akibat perbuatan buli.

Keadaan itu bukan sahaja menjejas tahap kesihatannya, malah memberi kesan besar kepada emosi serta perkembangan kehidupan harian kanak-kanak tersebut.

Lawatan Tunku Ismail dan anaknya ke hospital pada petang itu turut diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Asman Shah Abd Rahman; serta pemain bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman, yang hadir memberi sokongan moral kepada mangsa dan keluarga.

Tunku Ismail dalam satu kenyataan pada Selasa menegaskan bahawa gejala buli mesti dibendung segera dan langkah penguatkuasaan lebih ketat perlu dilaksanakan.

“Gejala buli harus dibendung dan langkah-langkah penguatkuasaan yang lebih ketat perlu dilaksanakan dengan kadar segera bagi memastikan setiap institusi pendidikan adalah kawasan yang selamat bagi kanak-kanak,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Siti Suhana Misdi, 39 tahun, sebagai berkata bahawa Izzul Islam kini trauma sehingga mengalami mimpi buruk dan turut sering menangis pada waktu malam selepas terjaga daripada tidur.

“Selepas kejadian, sikap dia (Izzul Islam) berubah, sering menyendiri dan kadang-kadang kalau dia bersendirian, dia akan menangis.

“Dia mengalami trauma teruk sampai tidur malam pun dia mimpi perkara buruk, tidur pun dia nangis bila saya tanya kenapa dia cakap mimpi takut, jumpa hantu jumpa orang menakutkan,” katanya.

Polis telah merekodkan keterangan tujuh individu bagi membantu siasatan kes buli terhadap mangsa, yang juga merupakan bekas pesakit kanser.

Ketua Polis Johor, Pesuruhjaya Ab Rahaman Arsad, berkata selain pegawai perubatan yang merawat mangsa, keterangan direkodkan daripada murid di sekolah mangsa yang menyaksikan kejadian itu, selain serta ahli keluarga.

“Setakat ini, tujuh saksi sudah diambil keterangan. Jika ada keperluan, kami akan panggil beberapa saksi lain bagi melengkapkan siasatan bergantung pada keputusan laporan perubatan.

“Polis sedang menunggu keputusan laporan perubatan penuh sebelum membuat sebarang kesimpulan, termasuk dakwaan mangsa mengalami gegaran otak selepas dibuli dan dipukul rakan sekolahnya,” katanya.-20/8/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button