FOKUS

Hilman tidak mengaku bersalah timbulkan kegentaran awam

Ketua sayap pemuda parti Bersatu, Muhammad Hilman Idham mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Rabu atas pertuduhan menimbulkan kegentaran awam.

ADUN Gombak Setia itu memohon dibicarakan sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amira Abd Aziz.

“Saya akan lawan dan minta dibicarakan,” kata Hilman.

Mengikut kertas pertuduhan, Hilman, 36, dituduh di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.

Hilman dalam satu hantaran di akaun TikTok alfah.channel.tv telah membuat kenyataan yang mungkin menimbulkan kegentaran awam dan boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datuk Badiuszaman Ahmad kemudiannya menawarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000.

Bagaimanapun, peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Hilman memohon jaminan minimum atas alasan anak guamnya memberikan kerjasama baik kepada pihak polis sepanjang proses siasatan.

“Tertuduh seorang ADUN yang dikenali rakyat Selangor dan Malaysia, tiada sebab untuk tertuduh melarikan diri.

“Saya cadangkan jaminan seharusnya pada kadar RM3,000 sahaja dengan seorang penjamin dan tanpa syarat lain kerana beliau perlu menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat,” katanya.

Selain Muhammad Rafique, tertuduh turut diwakili Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Zolazrai Zolkapli, Alias Rasman dan Afiqa Nardin.

Mahkamah kemudiannya menetapkan wang jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 9 Oktober depan untuk serahan dokumen.

Antara yang hadir Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Azmin Ali, Ketua Wanita Bersatu Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Naib Ketua Pemuda Bersatu Muhammad Faiz Rahmad dan Ahli Parlimen Pasir Salak Jamaludin Yahya.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan, Ketua Pemudanya Afnan Hamimi Taib Azamudden, Ketua Penerangan Ahmad Fadhli Shaari, Ketua Dewan Ulama Ahmad Yahya dan Ahli Parlimen Pendang Awang Hashim turut hadir.-20/8/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button