
Malaysia berjaya kemudi ASEAN secara neutral, berprinsip
Kejayaan Malaysia mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada Mei 2025 merupakan antara pencapaian utama negara dalam tahun ini.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia berjaya mengemudi blok serantau itu dengan berkesan sebagai sebuah platform yang neutral dan berprinsip, memastikan prinsip Kepusatan ASEAN (‘ASEAN Centrality’) terus kekal utuh dalam menghadapi cabaran geopolitik semasa.
Malaysia turut memainkan peranan penting membentuk ASEAN sebagai rantau yang lebih inklusif, memperkukuh integrasi ekonomi serta mempererat perpaduan serantau.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata dengan hanya berbaki empat bulan sebelum berakhirnya tempoh kepengerusian, Malaysia akan terus komited mengekalkan momentum positif itu.
Jelasnya, fokus kini tertumpu kepada menjayakan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan yang akan berlangsung pada Oktober ini.
“Malaysia juga akan mengehoskan Sidang Kemuncak Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau, atau dengan izin ‘Regional Comprehensive Economic Partnership’ (RCEP), di sela-sela sidang kemuncak itu nanti.
“Kehadiran pemimpin-pemimpin utama dunia pada bulan Oktober ini akan mengangkat profil Malaysia sebagai hab diplomasi serantau yang disegani, sekali gus membuktikan komitmen kita terhadap keamanan, kestabilan dan kesejahteraan serantau dan sejagat,” katanya.
Datuk Seri Mohamad berkata demikian semasa sesi penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat pada Selasa.-20/8/2025