
Rafizi nafi siasat skandal Ismail Sabri, Khairy Jamaluddin
Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menafikan pembabitan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Khairy Jamaluddin dalam kes serangan terhadap anaknya di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, pada 13 Ogos lalu.
Rafizi berkata, tindakan mengaitkan bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Kesihatan itu adalah cubaan jahat mengalihkan perhatian.
Menurutnya, persoalan mengenai siapa dalang di sebalik serangan dan penghantar mesej yang memintanya berdiam mula timbul.
Malah, beliau juga pernah mengesahkan ada berjumpa dengan pemberi maklumat mengenai skandal yang sedang ditelitinya seminggu sebelum serangan itu berlaku.
“Selepas kenyataan itu, saya lihat tiba-tiba ada tuduhan yang berlegar.
“Tuduhan pertama kononnya saya sedang meneliti satu kes membabitkan Ismail Sabri berhubung wang yang dicuci di luar negara.
“Tuduhan terkini kononnya saya sedang meneliti kes membabitkan Khairy atau mana-mana ahli politik lain.
“Saya melihat timbulnya pelbagai berita tidak benar ini adalah satu usaha untuk mengalih perhatian rakyat dan siasatan. Lagi banyak cerita seperti ini timbul lebih ramai yang akan membuat kesimpulan sendiri bahawa ia usaha untuk mengalih perhatian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Rafizi memaklumkan sudah berhubung dengan Ismail Sabri dan menyokong keputusannya membuat laporan polis mengenai berita tidak benar itu.
Media sebelum ini melaporkan siasatan berhubung serangan ke atas anak lelaki bekas Menteri Ekonomi itu diambil alih Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Polis sudah merakam keterangan enam individu bagi membantu siasatan berkaitan kes itu.
Terdahulu, Rafizi tidak menolak kemungkinan serangan dibuat terhadap anak lelakinya disebabkan pertemuannya bersama satu kumpulan pendedah maklumat atau ‘whistleblower’ berkait sebuah skandal.
Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa, ia juga adalah cubaan untuk menutup mulutnya mengenai perkara berkenaan.-20/8/2025