YANG VIRAL

Artikel fitnah terlibat kes anak Rafizi…Ismail Sabri buat laporan polis

Sekalipun bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli sendiri sudah bertindak menafikan kaitan Datuk Seri Ismail Sabri dalam kes serangan keatas anaknya…namun bekas Perdana Menteri itu tetap buat laporan polis terhadap artikel di media sosial yang fitnah beliau.

Menerusi satu kenyataan pada Rabu Ismail Sabri menyifatkan keseluruhan kandungan artikel yang dimuat naik dalam laman facebook tersebut adalah tidak benar sama sekali dan berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi serta nama baik beliau.

Katanya laporan polis berkenaan telah dibuat oleh Setiausaha Akhbar beliau pada Isnin (18 Ogos).

Ismail memberitahu laporan juga telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan Facebook supaya tindakan segera diambil terhadap laman serta pengendali atau pemiliknya.

Serentak dengan itu beliau mengucapkan terima kasih kepada Rafizi kerana menjelaskan bahawa skandal yang sedang beliau teliti tidak mempunyai kaitan dengan Ahli Parlimen Bera itu.

Sehubungan itu beliau memohon pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci dan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik atau pengendali akaun Facebook berkenaan serta mana-mana pihak yang menyebarkan artikel terbabit.

Terdahulu, selain Ismail…Rafizi yang juga merupakan Ahli Parlimen Pandan menerusi satu hantaran video di media sosialnya turut menafikan pembabitan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam kes serangan keatas anaknya.

Beliau membuat pengumuman berkenaan susulan pelbagai tuduhan berlegar yang mendakwa skandal tersebut adalah berkaitan Ismail Sabri dan Khairy.

Malah, Rafizi memakumkan sudah berhubung dengan Ismail Sabri dan menyokong tindakan untuk membuat laporan polis berkaitan berita palsu yang tersebar.

Kes serangan terhadap anak Rafiz berlaku di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, pada 13 Ogos lalu.

Beliau mendakwa seorang lelaki mengheret anaknya yang berusia 12 tahun dan mencucuk dengan jarum suntikan secara tiba-tiba ketika mahu memasuki kereta untuk meninggalkan pusat beli-belah itu pada 1.45 tengah hari.

Siasatan berhubung kes itu kini diambil alih oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Rafizi dilaporkan berkata, tindakan mengaitkan bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Kesihatan itu adalah cubaan jahat mengalihkan perhatian.

Menurutnya, persoalan mengenai siapa dalang di sebalik serangan dan penghantar mesej yang memintanya berdiam mula timbul.

Malah, beliau juga pernah mengesahkan ada berjumpa dengan pemberi maklumat mengenai skandal yang sedang ditelitinya seminggu sebelum serangan itu berlaku.

Rafizi sebelum ini turut dilaporkan berkata beliau menolak kemungkinan serangan dibuat terhadap anak lelakinya disebabkan pertemuannya bersama satu kumpulan pendedah maklumat atau ‘whistleblower’ berkait sebuah skandal.

Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa, ia juga cubaan untuk menutup mulutnya mengenai perkara berkenaan.- 20/8/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button