
19.2 juta pelancong dalam 6 bulan, Singapura, Indonesia paling ramai
Singapura kekal sebagai pasaran terbesar bagi sektor pelancongan Malaysia apabila mencatatkan lebih 10.29 juta pelawat sepanjang Januari hingga Jun 2025, meningkat 22.5 peratus berbanding tempoh sama pada 2024.
Peningkatan itu sekali gus mengekalkan kedudukan Singapura jauh di hadapan negara lain dalam aspek jumlah ketibaan pelancong asing ke Malaysia.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata Indonesia berada di tempat kedua jumlah pelawat tertinggi ke Malaysia bagi tempoh sama dengan 2.2 juta pelawat, meningkat 8.2 peratus berbanding tempoh sama sebelumnya.

Ia diikuti rapat oleh China yang melonjak 35.6 peratus kepada 2.18 juta pelawat berbanding 1.6 juta bagi tempoh sama pada 2024.
Thailand dan India turut menunjukkan pertumbuhan positif, masing-masing dengan 1.24 juta (naik 5.4 peratus) dan 807,664 pelawat (naik 26.6 peratus).
Bagaimanapun, ketibaan pelawat dari Brunei susut 15.5 peratus kepada 747,851 pada separuh pertama 2025, berbanding 885,420 bagi tempoh sama pada 2024.
Negara lain yang turut menyumbang kepada peningkatan pelancong asing ke Malaysia ialah Filipina (296,298 pelawat, naik 10.3 peratus); Korea Selatan (279,223, naik 4.4 peratus); Australia (233,147 pelawat, naik 11.6 peratus) dan Taiwan (218,171 pelawat, naik 12.2 peratus).
“Di samping itu pasaran jarak jauh seperti Britain juga menunjukkan prestasi yang lebih baik iaitu 215,813 pelawat, meningkat 9.5 peratus,” kata Datuk Tiong pada sesi di Dewan Rakyat pada Rabu.
Tiong berkata bagi memastikan impak yang positif, aktiviti promosi oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) lebih tertumpu kepada platform digital dan media sosial terutama di pasaran berpotensi tinggi.
“Memandangkan ada negara yang mempunyai kadar nilai tukaran wang yang terlalu tinggi justeru usaha promosi ini memerlukan peruntukan yang lebih.
“Oleh itu peruntukan promosi dan pengiklanan (A&P) bagi Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 juga tidak hanya tertumpu kepada satu pasaran, sebaliknya disesuaikan mengikut potensi dan saiz pasaran,” katanya.
Menurutnya Motac memberi tumpuan dalam beberapa segmen untuk meningkatkan tarikan kepada pelancong termasuk pelancongan mesra Muslim yang mempunyai potensi yang sangat besar.
“Motac juga komited dalam pembangunan pelancongan di peringkat komuniti melalui Program Pengalaman Homestay (Inap Desa) Malaysia dan Program Hos Komuniti Setempat di mana penduduk tempatan boleh dilatih untuk memperkasa ekonomi tempatan dan memperkenalkan budaya dan warisan mereka kepada pelawat dalam dan luar negara,” katanya.-21/8/2025