TAHUKAH ANDA

Ada pihak takutkan pelabur ke Johor – Onn Hafiz

Terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menakutkan pelabur dengan mengatakan Johor tidak mampu menyediakan bekalan air dan elektrik yang mencukupi buat syarikat yang ingin membuat pelaburan.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, dakwaan berkenaan adalah fitnah dan tohmahan yang berniat jahat terhadap usaha kerajaan negeri menarik masuk pelaburan antarabangsa khususnya di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Katanya, inisiatif yang dilakukan kerajaan negeri menggunakan pendekatan yang menyeluruh dengan kerjasama kerajaan Persekutuan dalam menyediakan kemudahan yang terbaik kepada pelabur.

“Bukan itu sahaja, kita juga mewujudkan jawatankuasa khas yang membabitkan tiga EXCO Kerajaan negeri membabitkan portfolio Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia; Infrastruktur dan Pengangkutan serta Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Jadi, bila ada syarikat yang ingin membangunkan pusat data di Johor, kita akan lihat dahulu dan jika tak cukup bekalan elektrik dan air, kita tak akan luluskan permohonan mereka,” katanya berucap pada majlis Pelancaran Projek Bandar Industri MBW Innexus serta Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Invest Malaysia Facilitation Centre- Johor (IMFC-J) di Forest City, pada Rabu.

Majlis berkenaan disempurnakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. Turut hadir ialah Pengarah Eksekutif MB World Group Berhad, Datuk Rohman Ahmad.

Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri turut melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk menggunakan bekalan air alternatif dengan kerjasama Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd bagi memastikan air mencukupi.

Katanya, kerajaan negeri juga mempunyai pelan jangka masa panjang membabitkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bagi memastikan bekalan air mencukupi sehingga 2030.

“Johor sangat serius untuk membawa masuk pelaburan ke negeri ini, dan kita akan pastikan pelabur-pelabur yang memilih Johor akan berasa selamat kerana mempunyai bekalan air dan elektrik yang mencukupi.

“Bagi pihak yang cuba menangguk di air keruh, saya harap mereka ini berhenti sahaja kerana yang kita nak bangunan bukan sahaja ekonomi Johor, bahkan turut memberi impak kepada negara,” katanya.-21/8/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button