
Malaysia pertimbang tubuh kementerian undang-undang khusus perkukuh sistem perundangan
Kerajaan sedang menimbang untuk menubuhkan sebuah Kementerian Undang-Undang khusus bagi memastikan ekosistem perundangan negara lebih tersusun dan bersepadu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Beliau berkata langkah itu juga akan membolehkan Malaysia berinteraksi dengan lebih bermakna bersama rakan serantau dalam usaha memajukan kedaulatan undang-undang, khususnya dengan negara anggota ASEAN.
“Dengan menyelaraskan diri kepada amalan terbaik jiran kita, Malaysia akan berada pada kedudukan lebih kukuh untuk membentuk sebuah tertib serantau yang lebih adil dan responsif,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Undang-Undang ASEAN 2025 di Kuala Lumpur Khamis.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Timbalannya M. Kulasegaran serta Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.
Anwar berkata, Keterangkuman dan Kemampanan telah dipilih sebagai tema utama Pengerusi ASEAN 2025 oleh Malaysia, dengan menegaskan bahawa keterangkuman bermaksud undang-undang mesti memberi manfaat kepada setiap individu, setiap komuniti dan setiap generasi.
“Tidak memadai keadilan hanya wujud dalam prinsip. Ia mesti dapat dirasai dalam kehidupan masyarakat kita. Undang-undang harus memperkasa dan melindungi, bukan menakut-nakutkan atau mengecualikan,” katanya.
Anwar turut menekankan kepentingan kemampanan dalam membina sistem serta institusi undang-undang yang mampu bertahan serta relevan sepanjang zaman.
“Kekuatan sebenar sesebuah kerajaan tidak terletak pada sejauh mana kuasa yang dimiliki, tetapi pada integriti institusinya, keadilan dalam tadbir urus, serta keyakinan yang diperoleh daripada rakyat,” katanya.
Menyentuh mengenai Wawasan ASEAN 2045, Anwar menegaskan bahawa kedaulatan undang-undang mesti menjadi asas kepada perjalanan tersebut, sambil menekankan bahawa ASEAN berteraskan peraturan adalah tunjang kepercayaan, kestabilan dan kemakmuran bersama.
Anwar turut menyatakan bahawa perpaduan ASEAN tidak semestinya menuntut keseragaman, kerana kepelbagaian tradisi undang-undang, nilai budaya dan pengalaman sejarah di rantau ini boleh menjadi sumber pengayaan, bukannya perpecahan, dalam kalangan negara anggotanya.
Sehubungan itu, Anwar menggesa negara serantau memperkukuh bantuan perundangan bersama, menambah baik mekanisme penyelesaian pertikaian serta berdepan cabaran baharu seperti tadbir urus digital dan pengawalseliaan kecerdasan buatan (AI). – 21/8/2025