FOKUS

PM zahir simpati, doa juruterbang TUDM cepat sembuh

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan simpati terhadap juruterbang dan pembantu juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terlibat dalam insiden di kawasan landasan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah (Pangkalan Udara Kuantan) malam tadi.

“Saya mendoakan agar kedua-dua anggota yang cedera diberikan kesembuhan segera serta dipermudahkan segala urusan rawatan dan pemulihan,” katanya dalam satu kenyataan di laman media sosial X pagi Jumaat.

Beliau turut meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian dan memastikan langkah keselamatan sewajarnya diambi.

Pada Khamis pesawat pejuang TUDM dilaporkan terbabit dengan kemalangan di Pangkalan Udara Kuantan.

Bahagian Perhubungan Awam TUDM menerusi kenyataan media, memaklumkan kemalangan berlaku jam 9:05 malam membabitkan pesawat F/A-18D Hornet.

Menurut kenyataan itu, kemalangan berlaku di landasan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah.

“TUDM sedang mengambil tindakan segera dan akan memaklumkan perkembangan semasa mengenai insiden kemalangan itu,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata dua juruterbang terbabit dalam kemalangan pesawat tersebut disahkan selamat.

Menurutnya kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, untuk pemeriksaan lanjut.

Jelasnya lagi berdasarkan maklumat kemalangan berlaku ketika pesawat F/A-18D Hornet hendak melakukan penerbangan.

“Polis sedang menunggu laporan hasil pemeriksaan dilakukan pasukan perubatan HTAA.

“Tetapi setakat ini, disahkan kedua-dua juruterbang terbabit selamat,” katanya.

Sementara itu tular di media sosial rakaman letupan dan disusuli percikan api di terbabit.

Video kejadian turut tular di media sosial.-22/8/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button