FOKUS

Apa macam Tan Sri…boleh?

“Dia pun kena minta maaf, banyak tuduhan dan fitnah dilempar kerajaan zalim, tak bagi peruntukan kepada Kelantan, beratus (tuduhan) yang disebut di Parlimen dan di luar Parlimen.”

Ini kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ditujukan kepada bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas merasmikan Forum Undang-Undang ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di Kuala Lumpur pada Khamis.

Anwar berkata beliau masih menunggu laporan penuh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk diteliti terlebih dahulu sebelum memutuskan sama ada perlu memohon maaf kepada Muhyiddin.

Perdana Menteri berkata, beliau menyerahkan kepada MCMC untuk menjalankan siasatan lanjut bagi mengesahkan kesahihan sumber yang dirujuk berhubung kenyataan yang dibuat di Parlimen baru-baru ini.

Ia berhubung kenyataan bahawa Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden BERSATU itu mempertahankan warga asing dalam isu penyasaran subsidi RON95.

“Kita akan lihat kepada laporan MCMC,” katanya.

Perdana Menteri berkata, Ahli Parlimen Pagoh itu juga perlu meminta maaf kerana banyak membuat tuduhan serta fitnah terhadapnya.

Pada 7 Ogos lalu, Muhyiddin menuntut Anwar meminta maaf berhubung kenyataan Perdana Menteri yang mendakwa beliau mempertahankan warga asing dalam isu penyasaran subsidi RON95.

Ahli Parlimen Pagoh itu dilaporkan berkata, jika tidak meminta maaf, beliau akan membuat usul kepada Dewan Rakyat untuk merujuk Perdana Menteri ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Dalam reaksinya kemudian, Anwar menyatakan kesediaan membuat permohonan maaf sekiranya terbukti kenyataan beliau itu yang dibuat berdasarkan tiga sumber maklumat diterimanya, tidak bersandarkan sumber sahih, namun siasatan lanjut diserahkan kepada MCMC.- 21/8/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button