
Himpunan JusticeForZara di Kedah… ribuan hadir, polis puji tiada provokasi
Himpunan Aman Justice For Zara Qairina yang berlangsung secara aman di Dataran Medan Bandar Alor Setar Kedah malam tadi, dihadiri ribuan orang yang mahukan keadilan untuk mangsa buli, Zara Qairina Mahathir, 13.
Himpunan yang bermula 6 petang hingga 11 malam itu turut bergema dengan laungan takbir ‘Allahuakbar’ serta #Justice for Zara.
Sebahagian peserta yang hadir dari serata daerah termasuk dari Langkawi dan Perlis turut mengadakan solat hajat, solat fardu serta bacaan Yassin berjemaah di Masjid Zahir yang terletak bersebelahan Medan Dataran Bandar Alor Setar.
Terdahulu, sebahagian peserta yang hadir dilihat mengalirkan air mata apabila mendengar kisah sebenar daripada tiga penggali kubur yang hadir dari Sabah yang terbabit dalam proses penggalian semula kubur Zara Qairina pada awal bulan ini.

“Walaupun kejadian berlaku jauh di Sabah, tetapi kami rakyat Kedah turut terkesan dengan apa yang berlaku terhadap adik Zara Qairina kerana dia masih kecil dan pelajar yang baik.
“Hari ini kami hadir untuk memberi sokongan dan berharap kes buli yang berlaku terhadap adik Zara dapat diselesaikan segera dan mendapat pembelaan sewajarnya.
“Paling sedih ketika tiga penggali kubur yang terbabit dalam proses penggalian semula kubur Zara bercerita yang keadaan jasad arwah masih dalam keadaan baik walaupun sudah 23 hari dikebumikan, Allahuakbar…., ” kata Ahmad Nazri Omar, 50, yang sanggup datang datang dari Baling untuk menyertai himpunan itu, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, himpunan itu berlangsung secara aman tanpa sebarang provokasi.
Katanya, anggaran peserta perhimpunan yang hadir dalam Himpunan Soladariti malam tadi adalah lebih 6,000 orang.
“Alhamdulillah, saya ucapkan syabas kepada pihak penganjur kerana dapat anjurkan perhimpunan aman dan bagi saya amat bagus dan patut dicontohi.
“Setakat ini, tiada insiden dan sebarang kejadian tidak diingini berlaku, semua berdasarkan Justice For Zara dan tidak menyentuh isi politik atau 3R (agama, kaum dan institusi diraja),” katanya.-22/8/2025