FOKUS

Jangan mimpi saya akan takut – Dr Akmal

Suasana sekitar kawasan Mahkamah Majistret Bukit Mertajam gamat sikit pagi Jumaat bila Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Akmal Saleh tampil untuk didakwa atas isu pasang bendera terbalik.

Beliau yang pulang awal dari tunai umrah di Makkah kerana urusan ini tiba di mahkamah jam 8.25 pagi sambil diiringi isteri, Datin Dr Fatin Nadhirah Idrus, ahli keluarga serta ratusan penyokong dari seluruh negara.

Beliau yang berbaju kurta putih kelihatan tenang.

Sana sini kedengaran laungan yang menyokongnya.

Selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Rashidah Mohd Akit… Dr Akmal, 37 tahun, membuat pengakuan tidak bersalah dan minta dibicarakan.

“Saya faham dan tidak mengaku bersalah. Saya mohon dibicarakan,” katanya.

Kes ditetapkan untuk disebut semula pada 22 September depan.

Mengikut pertuduhan, Dr Akmal didakwa telah memuat naik kenyataan di laman Facebook ‘Akmal Saleh’ yang mungkin menimbulkan kegentaran awam serta boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Kesalahan didakwa dilakukan sekitar jam 3 petang pada 11 Ogos lalu.

Dalam video itu, Dr Akmal didakwa menuntut Jabatan Peguam Negara mengambil tindakan ke atas individu yang memasang Jalur Gemilang secara terbalik dalam tempoh dua hari dan sekiranya tiada pendakwaan beliau turun mengajar individu dirujuknya cara memasang bendera dengan betul.

Bagi kesalahan itu, beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Datuk Mohd Nordin Ismail manakala Dr Akmal diwakili lapan peguam diketuai Aizat Azam.

Semasa prosiding, pihak pendakwa raya mencadangkan jaminan diberikan sebanyak RM10,000.

Bagaimanapun pihak pembelaan memohon agar anak guamnya diberikan jaminan sebanyak RM2,000 atas alasan beliau perlu menyara seorang isteri dan dua orang anak yang masih kecil dan bersekolah.

Mahkamah kemudian membenarkan beliau diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu ketika berucap kepada penyokongnya di situ Dr Akmal nampaknya tidak ganjak dengan pendiriannya mengenai Jalur Gemilang.

Beliau meminta kepada semua rakyat, jangan takut untuk tegur apa-apa kesalahan berkaitan bendera negara.

“Pertuduhan yang dikemukakan kepada saya bertujuan untuk takutkan anda (tetapi) percayalah, saya akan tanggung segala-galanya,” katanya lagi,

Mendakwa pertuduhan itu sebagai percubaan untuk intimidasi, Akmal mengingatkan pihak berkuasa agar jangan mengharapkannya untuk akur.

“(Bagi pihak yang mendakwa) untuk takut-takutnya saya…saya nak beritahu mereka, jangan mimpi saya akan takut,” katanya, sekali lagi disambut sorakan penyokongnya.

“Percayalah, ini akan jadi titik tolak kebangkitan rakyat untuk (tingkatkan rasa) sayangkan lambang negara kita ini. Percayalah, lambang negara ini bukan isu kecil, ia maruah kita semua sebagai rakyat Malaysia.

“Negara ini bukan (milik) saya seorang, bukan negara Melayu atau Cina sahaja – ini adalah negara kita semua sebagai rakyat Malaysia,” katanya lagi.- 22/8/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button