
Minum ketum, hisap gam kini masuk skop rawatan wajib – AADK
Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283) berkuat kuasa secara rasmi hari ini dengan peruntukan yang diperluas bagi membolehkan penangkapan, akses rawatan dan pemulihan diambil terhadap penyalahgunaan bahan larangan selain dadah termasuk gam dan ketum.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Ruslin Jusoh berkata, langkah itu dilihat sebagai usaha tegas kerajaan dalam menangani penyalahgunaan bahan terlarang lain selain dadah.
“Ia (penguatkuasaan akta) bukan perkara mudah, dengan adanya pindaan ini banyak bidang tugas diperluas dari segi rawatan dan penguatkuasaan.
“Banyak perkara juga sudah diperhalusi dari segi penyediaan kaedah, perintah tetap dan sebagainya,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Peluncuran Kampung Angkat Bebas Dadah sempena Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat AADK, pada Jumaat.
Jabatan Peguam Negara (AGC) mewartakan akta itu bermula hari ini bagi penguatkuasaan.
Rang Undang-Undang (RUU) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 (nama sebelum diwartakan) diluluskan di Dewan Rakyat pada 18 Julai 2024 dan 1 Ogos 2024 di Dewan Negara.
RUU itu bertujuan meluaskan skop rawatan dan pemulihan kepada penagih dadah atau bahan atau penyalah guna dadah atau bahan.-22/08/2025