
Perhimpunan aman masih boleh diadakan di hadapan bangunan Parlimen
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menolak cadangan memindahkan lokasi perhimpunan aman dari hadapan Parlimen ke Padang Merbok.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga jurucakap kerajaan Madani beritahu demikian dalam sidang media selepas mesyuarat kabinet, di Putrajaya, Jumaat.
Katanya Perdana Menteri berpendirian rakyat berhak untuk berhimpun di mana-mana sahaja termasuk di hadapan Parlimen.
“Susulan beberapa siri perhimpunan aman di depan Parlimen, terdapat perbincangan di kalangan ahli-ahli Parlimen dan juga Jemaah Menteri mengenai kewajaran mewujudkan tempat khusus, seperti Padang Merbok untuk orang ramai berkumpul bagi menyatakan pandangan atau menyerahkan memorandum.
“Walaubagaimanapun, Yang Berhormat Perdana Menteri menegaskan dan mengambil pendirian bahawa berhimpun di hadapan Parlimen itu tidak harus dihalang,” katanya.
Menurut Fahmi, isu tersebut dibincangkan susulan beberapa siri perhimpunan aman yang diadakan di hadapan Parlimen, termasuk yang melibatkan penyerahan memorandum oleh pelbagai pihak.
Bagaimanapun, Fahmi berkata, perdana menteri juga telah meminta aspek keselamatan dan pengurusan lalu lintas diberi perhatian, supaya tidak mengganggu urusan keluar masuk ahli Parlimen dan pegawai yang terlibat.
“Perdana menteri menegaskan, pertama, boleh terus berhimpun di hadapan Parlimen. Tidak menjadi masalah. Cuma perlu pastikan laluan keluar masuk terkawal dan diuruskan dengan baik, dengan kerjasama pihak polis.- 22/8/2025