
Teguran PM tentang isu bendera…
Isu pemasangan bendera Jalur Gemilang terbalik yang cetuskan polimek panas kebelakangan ini telah mengundang teguran dari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau seolah meminta semua pihak waspada dan tidak terbawa bawa hingga boleh mencetuskan suasana yang mengugat keamanan negara.
Katanya walaupun Jalur Gemilang perlu dihormati sebagai lambang kedaulatan, ia tidak seharusnya dieksploitasi untuk mencetuskan ketegangan kaum.
“Jangan salah faham, saya tidak kata bendera itu tidak penting, bendera itu tanda lambang kebanggaan negara jadi kena jaga.”
Anwar menegaskan demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kilang Pembuatan Kenderaan Perisai Nasional di Mildef International Technologies, Sendayan, Sabtu.
Beliau menjelaskan walaupun salah laku yang melibatkan bendera mesti ditangani, ia harus ditangani dengan sewajarnya.
“Jadi kadang-kadang bila kita aman, kita buat andaian sahaja. Ajak orang bergaduh, mahu bergaduh soal bendera, semua mahu gaduh dan ada yang menghangatkan suhu perpecahan antara kaum,” katanya.
“Kalau dulu silap-silap boleh kita maafkan tapi sekarang kalau ada lagi yang nampak lihat begitu, sama ada di jabatan kerajaan atau swasta, harus ada tindakan tetapi saya mahu sebutkan, jangan buat andaian semua ini baik, tidak betul,” katanya.
Perdana Menteri mengingatkan rakyat Malaysia bahawa keamanan adalah hasil pengorbanan pasukan keselamatan, menekankan keperluan untuk terus bersiap siaga terhadap ketidakstabilan serantau.
“Negara ini aman kerana persiapan, perkhidmatan, pengorbanan, pasukan pertahanan kita selama ini, tapi ia tidak akan kekal lama.
“Siapa jangka ada peperangan Thailand-Kemboja, siapa sangka pergaduhan di Myanmar berlarutan, bila ada pergaduhan itu dia melimpah juga ke Thailand, Bangladesh dan juga Malaysia, sebab itu kita harus sentiasa bersedia,”katanya .- 23/8/2025