
Kes nadir bumi dan MARRIS : Mahkamah perintah Saifuddin bayar MB Kedah RM670,000
Ingat balik…masa kempen menjelang pilihanraya negeri Kedah pada Ogos 2023 antara isu hangat ialah berkaitan dakwaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa Menteri Besar Kedah Datuk Seri Sanusi Md Nor mencuri unsur nadir bumi (REE) dan penyelewengan wang peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).
Pada 3 Ogos 2023, Sanusi memfailkan saman terhadap Saifuddin kerana mendakwa beliau memfitnahnya mencuri REE di Kedah dan menyeleweng peruntukkan MARRIS.
Melalui pernyataan tuntutannya, Sanusi berkata, Saifuddin ketika menyampaikan ceramah pada 15 Julai 2023, mengeluarkan kata-kata fitnah yang menuduhnya selaku Menteri Besar dan Menteri Besar Incorporated (MBI) mencuri REE di Kampung Chong, Sik yang mendapat liputan luas media.
Sanusi juga berkata, Saifuddin pada majlis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang pada 14 Julai 2023, mengeluarkan kata-kata fitnah yang menuduhnya menyalahgunakan peruntukan MARRIS.
Hari ini….24 Ogos Mahkamah Tinggi di Alor Star perintah Saifuddin membayar ganti rugi RM600,000 kepada Sanusi selepas kalah dalam saman fitnah berkenaan.
Hakim, Dr. John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee turut mengarahkan defendan membayar kos sebanyak RM70,000 kepada plaintif.
Mahkamah juga memerintahkan Saifuddin Nasution menerbitkan permohonan maaf dalam media berbahasa Melayu dan Inggeris dalam tempoh 14 hari, dengan teks yang perlu mendapat kelulusan plaintif terlebih dahulu.
Selain itu, perintah injunksi kekal dan satu akujanji untuk tidak mengulangi kenyataan berbaur fitnah terhadap plaintif turut dikenakan ke atas defendan.
Dalam penghakiman, mahkamah mendapati kenyataan yang dibuat defendan pada Julai 2023 ketika kempen Pilihan Raya Negeri Kedah jelas merujuk kepada plaintif serta membawa maksud memfitnah.
“Defendan gagal membuktikan fakta substantif yang boleh mewajarkan kenyataan tersebut. Pembelaan justifikasi dan komen adil juga tidak dapat dipertahankan,” kata hakim.
Sanusi sebelum ini menuntut ganti rugi am RM2.5 juta, ganti rugi teruk RM500,000 dan ganti rugi teladan RM2 juta.
Bagaimanapun, selepas meneliti amalan lazim kes saman fitnah mahkamah hanya menganugerahkan ganti rugi global RM600,000.- 24/8/2025