Baitulmaqdis: Angka kematian rakyat Palestin akibat serangan Israel yang berterusan di Semenanjung Gaza meningkat kepada 17,177 sejak 7 Oktober.
Jurucakap Kementerian Kesihatan, Ashraf al-Qudra berkata, 70 peratus daripada jumlah mangsa adalah kanak-kanak dan wanita.
Katanya, 46,000 lagi mangsa cedera dalam serangan Israel ke atas Gaza.
“Sekurang-kurangnya 290 pegawai perubatan terbunuh, 102 ambulans musnah dan 160 pusat penjagaan kesihatan menjadi sasaran dalam serangan Israel.
“Kami berdepan kesukaran mengira bilangan syahid dan cedera akibat serangan berterusan dan talian komunikasi diputuskan,” katanya dalam sidang media, semalam.
Israel meneruskan serangan ketenteraannya di Semenanjung Gaza pada 1 Disember selepas berakhirnya jeda kemanusiaan selama seminggu dengan Hamas.
Israel melancarkan kempen ketenteraan besar-besaran terhadap Semenanjung Gaza berikutan serangan rentas sempadan Hamas pada 7 Oktober yang menurut Israel 1,200 rakyat mereka terbunuh.
Sementara itu Reuters melaporkan 350 orang meninggal dunia dalam tempoh 24 jam yang lalu, kata Kementerian Kesihatan Gaza pada Khamis.
Jurucakap kementerian Ashraf Al-Qidra bercakap dalam sidang akhbar ringkas dari Hospital Nasser di selatan Gaza bahawa pihaknya sedang berusaha segera untuk membuka semula Hospital Al Shifa yang terletak di Bandar Gaza.-8/12/2023