
Cukuplah Hans Isaac, kamu tak layak – Pemuda Umno
Menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia malam ini, pengerusi lembaga pengarah Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) Hans Isaac terus menerima kritikan bertali arus susulan keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil.
Terbaru Ketua Umno Akmal Saleh pula dilihat tidak dapat menahan marahnya selepas PSM hari ini mengaku tidak dapat memastikan pentas final dalam keadaan baik.
“Cukup cukuplah. Hans Isaac, kamu tidak layak untuk kerusi ini!
“Ini bukan filem yang boleh berlakon hero,” katanya merujuk kepada latar belakang karier artis itu.
Akmal berkata demikian ketika mengulas permohonan maaf PSM atas alasan tidak cukup masa untuk membaiki padang selepas Konsert Coldplay pada 22 Nov lepas.
Juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) akan dicabar oleh Terengganu FC untuk merebut piala yang paling berprestij dalam dunia sukan tanah air.
Mulai tahun ini padang itu menggunakan rumput baru berkelas dunia Zeon Zoysia yang ditaja oleh Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik JDT.
Sementara itu, menulis di media sosial, Akmal berkata Hans sepatutnya mendengar pandangan pihak berpengalaman.
“Bila dapat sesuatu tanggungjawab yang di luar bidangnya, yang penting kena mendengar daripada orang-orang yang berpengalaman.
“Dengar nasihat dari pekerja bawahan sampailah pegawai atasan sebelum buat keputusan.
“Bukan dapat jawatan, lepas itu degil rasa diri hebat dengan jawatan yang ada,” tegurnya.- 8/12/2023