FOKUS

Farhash nak saman… Rafizi kata bersedia ke mahkamah

Makin panas pertembungan dua bekas orang kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim ini.

Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli diberi tempoh 48 jam untuk memohon maaf secara terbuka, menarik balik dan memadam kenyataan yang dibuat berhubung bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Wira Farhash Wafa Salvador atau berdepan tindakan undang-undang.

Tuntutan itu dibuat melalui surat “cease and desist” yang dihantar firma guaman Ahmad Deniel, Ruben & Co bagi pihak Farhash pada 22 Ogos lalu.

Surat tersebut antara lain mendakwa kenyataan Rafizi dalam satu video siaran langsung yang dimuat naik di laman Facebook rasmi beliau pada 20 Ogos, telah mengaitkan nama Farhash dengan insiden serangan terhadap anaknya serta urus niaga syarikat tertentu.

Tindakan itu, menurut peguam Farhash, menjejaskan reputasi anak guam mereka.

Antara tuntutan yang dinyatakan termasuk arahan supaya Rafizi segera berhenti daripada mengulangi kenyataan berkenaan, memadam video terbabit daripada semua platform, serta mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh ditetapkan.

Firma guaman itu turut menegaskan, kegagalan mematuhi tuntutan akan membuka ruang kepada tindakan undang-undang.

Sementara itu, Rafizi dalam kenyataan media pada Isnin mengesahkan, beliau telah menerima surat berkenaan.

Ahli Parlimen Pandan itu menegaskan kenyataannya sebelum ini adalah berasaskan fakta dan beliau bersedia mempertahankannya di mahkamah.

“Saya berpandangan sekiranya Datuk Wira Farhash memfailkan saman di mahkamah kelak, ia akan menjadi kes berkepentingan awam dan peguam-peguam saya berpeluang menanyakan soalan-soalan yang ditimbulkan oleh pelbagai pihak selama ini,” tambahnya.

Rafizi turut memaklumkan dia telah melantik firma guaman Tetuan Gan, Ho & Razlan Hadri untuk tindakan lanjut berhubung perkara tersebut-25/8/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button