FOKUS

Anwar jawab dakwaan pasal hutang negara…

Sebagai orang politik apa lagi berjawatan Perdana Menteri mahu tidak mahu beliau terpaksa hadap bab ini dari masa semasa.

Pada Isnin ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), di Dewan Negara Datuk Seri Anwar Ibrahim jenuh ‘bersilat’ jawab segala macam dakwaan terhadap pentabirannya.

Antara yang kerap menjadi mainan pembangkang untuk suburkan persepsi negatif tentunya kisah hutang negara yang didakwa semakin bertambah.

Beliau menjelaskan hutang negara secara keseluruhannya bertambah berikutan beban faedah hutang lama yang diwarisi dan bukan disebabkan pinjaman baharu.

Perdana Menteri beritahu rekod jelas menunjukkan hutang baharu berkurang.

Menurutnya apa yang menjadi isu kerana pembangkang dakwa hutang bertambah.

“Tidak benar. Hutang baharu kerajaan itu kurang. Saya sudah baca banyak kali iaitu hutang daripada RM100 bilion, turun kepada RM90 bilion, turun RM80 bilion, turun RM70 bilion. Itu yang kita lakukan.

“Tetapi hutang keseluruhan dengan bunga (faedah), barulah dia berkembang. Jadi janganlah kata kerajaan sekarang (buat) hutang baharu. Tidak betul,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan MADANI turut komited mengurangkan defisit fiskal walaupun ia sering menjadi polemik politik yang tidak berkesudahan.

Beliau berkata, defisit fiskal berjaya diturunkan daripada 5.6 peratus kepada 4.1 peratus, dan diunjurkan susut kepada 3.8 peratus tahun hadapan.

“Ini kerajaan MADANI yang pertama cuba menurunkan defisit fiskal dan hutang baharu walaupun ia menjadi polemik politik.

“Mengapa kita harus turunkan? Kalau tidak turunkan, hutang membengkak.

“Jadi sebab itu defisit ini harus dikurangkan. Jadi kita sudah kurangkan daripada 5.6 peratus, lima peratus, 4.8 peratus dan sekarang kita unjurkan 3.8 peratus tahun depan dan berikutnya terus turun.

“Selagi defisit itu ada, hutang jumlah keseluruhan akan bertambah,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata, sasaran lima tahun akan datang kerajaan ialah menurunkan defisit fiskal kepada tiga peratus.

Perdana Menteri juga meminta agar jumlah peruntukan yang diterima sesebuah kumpulan di negara ini tidak seharusnya dipolemikkan.

Beliau mengingatkan agihan itu dibuat mengikut keperluan sesebuah kumpulan itu.

“Saya sangat tidak senang dengan polemik sedemikian kerana ia memberikan gambaran seolah-olah orang Melayu sudah selesa… begitu juga masyarakat India atau Cina.

“Maka, jangan pertikai apabila sesuatu kaum menerima manfaat lebih tinggi. Itu berdasarkan keperluan, bukan kaum.

“Kalau nak minta kemudahan untuk masyarakat India, silakan. Orang Melayu majoriti di negara ini dan yang miskin majoritinya juga Melayu. Jadi sebab itu kita harus berikan tumpuan,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan MADANI sentiasa komited memastikan semua kumpulan termasuk Melayu, Cina, India, bumiputera Sabah dan Sarawak, Orang Asli, wanita, Orang Kurang Upaya (OKU) dan belia akan mendapat manfaat mengikut keperluan masing-masing.

Selain itu, Anwar berkata RMK13 yang dibentangnya itu akan dipantau secara berterusan bagi memastikan setiap projek dan inisiatif yang digaris memberi impak nyata kepada rakyat.

Serentak dengan itu beliau membidas tindakan sesetengah pihak yang melabel Kerajaan Perpaduan sebagai zalim dengan dakwaan tidak memberikan peruntukan secukupnya kepada negeri khususnya ditadbir oleh pembangkang.

Beliau berkata, serangan secara semberono tanpa fakta itu adalah cubaan untuk menafikan usaha Kerajaan Perpaduan atas dasar perbezaan politik semata-mata.

Anwar berkata, beliau memahami sekiranya kritikan dibuat atas dasar usaha tersebut masih belum mencukupi namun sekiranya mengatakan kerajaan tidak berbuat apa-apa itu adalah satu penipuan.

“Kita masih dengar lagi beberapa kerajaan negeri (kata kerajaan) terutama Perdana Menteri ini zalim kerana tidak beri peruntukan kepada negeri. Inilah yang kita dengar mantra dia.

“Padahal saya dah baca di sini tambahan daripada tahun-tahun sebelumnya, untuk Kedah tahun 2025, peruntukan RM2.13 billion, Kelantan RM3.12 bilion. Bukan kerana saya baik dengan kerajaan Kelantan, tapi kerana tebatan banjir itu kos tinggi,.

“Terengganu RM1.84 bilion. Walaupun hujah mereka ialah sumbangan negeri kepada negara tinggi. Tak benar. Tapi saya hendak tunjukkan bahawa sumbangan ini jauh lebih besar daripada yang pernah diluluskan sebelumnya.

“Perlis RM0.61 bilion dan yang dilakukan termasuklah projek perindustrian Lembah Chuping, Pelabuhan Darat Perlis,” katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri turut menegur kritikan terhadap pelaksanaan projek baharu seperti LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang yang dikatakan menelan belanja terlalu besar sehingga mengakibatkan pembaziran.

“Tapi mereka lupa bahawa projek ECRL (Laluan Rel Pantai Timur) itu menelan belanja yang sangat tinggi, jauh lebih besar daripada mana-mana projek yang kita umumkan sebelum atau kemudiannya,” katanya.

Beliau juga menegur beberapa kritikan tidak berasas membabitkan pertanian di Kedah dengan memaklumkan bahawa sebanyak RM1 billion diperuntukan bagi merealisasikan hasrat penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Kedah.

“Di Kedah peruntukan awal RM1 bilion. Tapi kadang-kadang mereka tak lihat yang itu. Terima kasih jangan sekali. Tapi kadang-kadang kata tidak ada. Saya pun tak faham. Saya pergi tengok projek itu dalam proses. Peringkat pertama sudah selesai.

“Tebatan banjir di Kelantan, di sekitar Kota Bharu, sudah tamat. Sekarang dikembangkan, termasuk isu-isu yang membebankan rakyat Kelantan dari segi banjir kerana isu limpahan dari Sungai Golok yang tidak mampu dikorek kerana tanpa persetujuan di antara Malaysia dan Thailand.

“Kita sudah ke Thailand pun perundingan sekarang dipersetujui. Jadi saya tekankan hal-hal ini supaya ada perbincangan yang lebih terbuka dan sihat,” katanya.- 25/8/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button