
Kematian misteri pelatih PALAPES: Kubur digali semula
Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan penggalian semula kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin dijalankan bagi membolehkan bedah siasat kedua dibuat dalam tempoh 14 hari.
Hakim, Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan ibu Allahyarham Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45.
Semasa membaca keputusan berkenaan, hakim berkata, pihak Ketua Polis Negara selaku responden pertama akan menyelia proses penggalian semula jasad anak sulung yang disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu.
Sebelum ini, media melaporkan hasil siasatan jawatankuasa kematian pegawai kadet PALAPES UTM mendapati tiada sebarang unsur penderaan dalam insiden berkenaan.
Mangsa meninggal dunia ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Darat (Pulada) Ulu Tiram pada 28 Julai lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui jawatankuasa siasatan itu mendapati semua saksi termasuk pegawai dan jurulatih mengesahkan tiada kelakuan atau tindakan berbentuk penderaan sepanjang tempoh latihan.
Mohamed Khaled berkata, latihan yang diadakan dari 27 Julai hingga 2 Ogos itu dilaksanakan mengikut garis panduan serta prosedur yang ditetapkan.
Pada 1 Ogos lalu, PDRM dilaporkan akan menjalankan siasatan terperinci berhubung punca kematian pelatih PALAPES itu.-26/8/2025