
Prasarana, MRT, KTMB dan JKSB catat kerugian… Ini penjelasan MOF
Tahukah anda… laporan kewangan beraudit 2023 mendedahkan, Prasarana Sdn Bhd (Prasarana), Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) adalah antara syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) yang mengalami kerugian.
Kementerian Kewangan menjelaskan, syarikat terbabit yang melaksanakan projek infrastruktur awam, terutama pengangkutan rel dan infrastruktur jambatan, mengalami kerugian kerana perlu menyokong penyediaan perkhidmatan untuk keselesaan rakyat dengan kadar tambang yang murah dan berpatutan.
MKD sebagai pemegang saham majoriti syarikat katanya, sentiasa berusaha meningkatkan kawalan bagi memantau prestasi syarikat dari segi kewangan dan tadbir urus supaya operasi syarikat MKD selaras dengan objektif penubuhan dan mandat yang ditetapkan.
“Antara langkah yang diambil untuk meningkatkan pemantauan terhadap syarikat MKD adalah melalui pembentangan pelan perniagaan tahunan syarikat, penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) syarikat dan laporan pencapaian KPI setiap suku tahun, Pelaporan Penyata Kewangan Beraudit Tahunan dan Pelaporan Pengurusan Kewangan Suku Tahun.
“Selain itu, MKD juga mengambil inisiatif dengan mengadakan Mesyuarat Corporate Improvement Programme (CIP) bagi syarikat MKD yang tidak mencapai sasaran KPI sekurang-kurangnya 80 peratus pada tahun semasa, yang mana Mesyuarat CIP bertujuan mengenal pasti masalah yang dihadapi syarikat dan membincangkan penambahbaikan struktur syarikat.
“Syarikat MKD yang gagal mencapai sasaran KPI juga diminta mengemukakan penjelasan lanjut dan pelan tindakan yang akan dilaksanakan syarikat bagi memperbaiki prestasi serta kedudukan kewangan,” jelasnya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen, lapor BH.
Jawapan bertulis itu bagi menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) berhubung senarai 20 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mencatat kerugian tertinggi dan langkah serta tindakan undang-undang yang diambil kerajaan untuk menangani kerugian itu.
Sementara itu, Kementerian Kewangan turut memaklumkan, beberapa syarikat MKD turut mencatat keuntungan, iaitu Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank), IJN Holdings Sdn Bhd dan SIRIM Berhad.
Jelas Kementerian lagi, syarikat GLC di bawah MKD ditubuhkan bukan berorientasikan keuntungan tetapi untuk tujuan tertentu berdasarkan mandat yang ditetapkan kerajaan, antaranya menyediakan perkhidmatan dan obligasi sosial kepada rakyat, seperti perkhidmatan pengangkutan/infrastruktur awam dan utiliti.
“Ia juga bagi memenuhi jurang pasaran yang tidak diceburi sektor swasta dan mengekalkan kepentingan kerajaan dalam sektor strategik,” katanya.-26/8/2025