
RUU PSB: 108 sesi libat urus diadakan, wakil pembangkang dijemput tapi tak hadir
Riuh rendah di jalan masuk ke Parlimen pagi Selasa dengan beberapa NGO datang menyerahkan memorendum kepada wakil pembangkang kononnya mendesak untuk tanggung bacaan kali kedua dan ketiga Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar 2025 (PSB) yang dijadukan Rabu.
Minta tangguh kononnya nak kaji lagi… tapi tahukah anda, kerajaan telah menganjurkan sebanyak 108 sesi libat urus dan penerangan bagi menjelaskan pelaksanaan RUU PSB kepada semua pihak berkepentingan, termasuk wakil rakyat pembangkang.
Bagaimanapun, sumber memberitahu x-press.my, tiada seorang pun wakil rakyat pembangkang hadir, meskipun mereka telah dijemput secara rasmi.
Sepanjang 108 sesi libat urus tersebut, semua soalan dijawab dan kebimbangan diberi ruang untuk dibincangkan. Malah, lawatan tapak turut diadakan pada bulan Mei bagi membolehkan ahli Parlimen melihat sendiri keadaan kawasan pembaharuan.
Faktanya adalah kerajaan tidak pernah menutup pintu dialog. Sebaliknya, peluang yang dibuka langsung tidak disambut oleh pihak yang paling lantang menolak RUU PSB 2025 ini.
Kerana itulah, gesaan pembangkang supaya RUU PSB 2025 yang dijadulkan dibentangkan Rabu di Dewan Rakyat ditangguhkan, disifatkan tidak wajar kerana ia telah melalui sesi libat urus dan rundingan yang komprehensif.
Dalam sidang media di Parlimen petang Selasa, Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Datuk Dr Alias Rameli berkata, sehingga kini, pihaknya sudah melaksana 108 sesi libat urus membabitkan badan profesional, persatuan penduduk dan tokoh akademik.

“Kita tidak nampak mengapa perlu lagi penangguhan (untuk) sesi (sidang Dewan Rakyat) yang akan datang kerana kita rasa telah melalui proses rundingan dan sesi libat urus yang cukup bagi memenuhi sebahagian besar kehendak.
“Cuma ada beberapa NGO (badan bukan kerajaan) yang memberi pandangan tertentu,” katanya.
Mengulas lanjut, Alias berkata, RUU PSB dan RUU Sewaan Kediaman tidak mempunyai hubungan antara satu sama lain.
“Tidak ada langsung hubungan di antara Akta Sewaan Kediaman dengan Akta PSB, memang tidak berkaitan langsung,” katanya.
Menyentuh mengenai kenyataan empat negeri ditadbir pembangkang yang menolak RUU PSB kerana dikhuatiri memberi implikasi besar terhadap kuasa autonomi negeri, Alias berkata, isu berkaitan tanah kekal di bawah bidang kuasa negeri.
“Tidak ada sedikit pun pelanggaran dalam konteks RUU PSB ini untuk mengambil kuasa pihak berkuasa negeri termasuk pihak berkuasa tempatan dalam hal berkaitan urusan tanah serta perancangan.
“Malah tapak yang dikenal pasti untuk tujuan PSB ini pun datang daripada negeri, bukan datang daripada Persekutuan.
“Pengisytiharan tapak bagi tujuan pembangunan bandar juga harus dibuat oleh pihak berkuasa negeri dan diwartakan oleh negeri,” katanya.

Katanya, pihaknya juga telah menerima sebanyak 534 tapak yang telah diluluskan oleh pihak berkuasa negeri dan dikemukakan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan menegaskan apa yang sedang dibentangkan kerajaan sama sekali tidak akan mengusir orang Melayu dari kawasan bandar.
Beliau berkata, akta tersebut dengan jelas menyatakan pemilik akan kekal di kawasan asal dengan memiliki rumah baharu yang dilengkapi kemudahan lebih baik disediakan kerajaan.
“Jika cakap-cakap bahawa ada orang Melayu yang akan diusir ini merupakan satu tohmahan dan fitnah yang sangat jahat,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Menurutnya, jika sesuatu tanah telah diwartakan sebagai Tanah Rizab Melayu, ia akan kekal berstatus demikian dan tidak boleh diubah oleh mana-mana kerajaan.
“Kuasa kerajaan negeri sama sekali tidak akan terhakis sebaliknya akan diperkasa dan dipertahankan,” kata Sany.
Pada 19 Ogos lepas, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata bacaan kedua dan ketiga RUU berkenaan dijadualkan Rabu sekali gus menandakan hala tuju baharu dalam memastikan pembangunan bandar di Malaysia kekal mampan, maju, makmur dan inklusif.-26/8/2025 OLEH AHMAD SYAUQI ABDUL RAZAK