
Latih bakat tempatan untuk integrasi ilmu dalam AI – PM Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menekankan kepentingan melatih bakat tempatan bagi memastikan kandungan teknologi kecerdasan buatan (AI) di Malaysia turut mencerminkan nilai agama, budaya dan bahasa tempatan.
“Maklumat yang keluar bergantung pada apa yang dimasukkan. Jadi, kita perlu memastikan input itu datang daripada kita, berasaskan disiplin kita sendiri.
“Maklumat dari Amerika Syarikat, Rusia, China, semua ada. Tetapi daripada kita – agama, budaya, bahasa – tiada. Bagaimana kita dapat melatih bakat yang memenuhi keperluan kita, termasuk dalam semua bidang teknologi?” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Program CD:NXT CelcomDigi di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; serta Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi.
Datuk Seri Anwar turut berkongsi contoh insiden di luar negara baru-baru ini, apabila terdapat pihak yang cuba mendapatkan penjelasan ayat al-Quran melalui platform ChatGPT, namun hasil yang dipaparkan bukanlah ayat suci al-Quran walaupun kedengaran seakan-akan.
“Bunyinya seperti ayat al-Quran, tapi sebenarnya bukan. Sebab itu kepintaran manusia sangat penting untuk membezakan antara nilai kemanusiaan dan kecanggihan teknologi maklumat seperti AI,” jelasnya.
Pelancaran Program CD:NXT oleh CelcomDigi hari ini menandakan satu lagi usaha strategik syarikat dalam membentuk generasi pemimpin digital negara.
Sebagai sebahagian daripada visi Malaysia menuju status ekonomi digital berasaskan 5G dan AI, program ini akan melengkapkan 5,000 anak muda dengan ilmu, kemahiran praktikal dan kecekapan masa depan dalam bidang teknologi, data dan analitik.-26/8/2025