FOKUS

Bendera terbalik: Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) tak ganjak keputusan tutup 30 hari

Sekalipun berdepan dengan bantahan dari Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) tidak berganjak dari keputusan menutup 30 hari dua premis perniagaan yang pasang Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik.

Yang Dipertua MPPn, Abdul Azim Shamsudin menjelaskan tindakan menutup sebuah klinik gigi dan pasar raya mini di daerah itu selama 30 hari dibuat mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) yang dimiliki pihak berkuasa tempatan (PBT).

“MPPn tidak bertindak di luar batasan undang-undang atau keterlaluan dalam isu bendera terbalik kerana ia terkandung di dalam UUK Pelesenan Perniagaan dan Perdagangan MDP (2019).

“Tindakan penutupan ini dibuat mengikut UUK 49(2) yang memberi kuasa kepada Yang Dipertua untuk menutup mana-mana premis yang melanggar syarat lesen atau undang-undang kecil,” katanya.

Pada pagi Rabu MPPn menerima memorandum sokongan daripada gabungan 38 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pontian terhadap tindakannya.

Memorandum itu diserahkan wakil NGO, Mohd Fauzi Abdul Rahman sebelum kumpulan tersebut turut menyerahkan memorandum sama kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian tengah hari ini.

Memorundum tersebut merupakan sokongan terhadap tindakan tegas dan segera diambil PBT berkenaan dan polis dalam menangani isu bendera Johor dan Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik membabitkan sebuah pasar mini dan klinik pergigian swasta.

Majlis Eksekutif Kebangsaan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) dalam satu kenyataan menyifatkan arahan penutupan itu keterlaluan dan hukuman tersebut tidak setimpal dengan kesalahan.

Menurut DAPSY, tindakan MPPn itu juga melampaui kuasa serta menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap tadbir urus kerajaan tempatan.

Mengulas gesaan pihak-pihak yang meminta MPPn menarik balik arahan tersebut, Abdul Azim menegaskan setiap PBT mempunyai kuasa untuk melaksanakan penutupan premis yang melanggar peraturan sedia ada.

“Setakat hari ini kami belum menerima sebarang rayuan daripada pemilik premis, namun YDP mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak,” jelasnya.

Tegasnya, pemasangan Jalur Gemilang dan bendera Johor tidak boleh dilakukan sembarangan kerana ia lambang maruah negara serta negeri yang dilindungi undang-undang.

Pada 20 Ogos lalu, sebuah premis pergigian swasta di Pusat Perdagangan Pontian diarahkan tutup selama 30 hari selepas didapati mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik sehingga tular di media sosial.

Pada Isnin, sebuah pasar raya mini di Pekan Nanas turut dikenakan tindakan sama selepas didapati mengibarkan bendera Johor secara terbalik.- 27/8/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button