TAHUKAH ANDA

KL paling padat, tapi perumahan terus dibina… ini sebabnya!!!

Tahukah anda… jumlah penduduk di Kuala Lumpur bukan saja akan mencapai kemuncak pada 2031, malah ibu kota Malaysia itu juga bakal menjadi bandar pertama memasuki tahap penduduk menua.

Demikian dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Datuk Dr Zaliha menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Bentong (Pahang),Young Syefura Othman, di Parlimen, mengenai sama ada kerajaan bercadang melaksanakan moratorium (pembekuan) terhadap projek perumahan di Kuala Lumpur.

Ini berikutan laporan Jabatan Perangkaan yang menunjukkan bandar itu akan mencapai jumlah penduduk tertinggi pada 2031 – iaitu 28 tahun lebih awal berbanding unjuran nasional.

Dr Zaliha berkata laporan itu turut menekankan keperluan mendesak untuk menilai semula keseimbangan antara pembangunan fizikal dan daya tampung bandar, khususnya daripada segi kapasiti prasarana, perumahan mampu milik, kelestarian alam sekitar serta mutu hidup penduduk.

Beliau turut menjelaskan bahawa tanggapan wujudnya lambakan hartanah di Kuala Lumpur tidak sepenuhnya tepat, memandangkan terdapat penurunan 10.3 peratus dalam jumlah hartanah tidak terjual berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Pelaksanaan moratorium terhadap projek perumahan akan membawa beberapa kesan negatif, termasuk penurunan Hasil Dalam Negara Kasar (GDP) Kuala Lumpur yang banyak bergantung pada sektor pembinaan dan perkhidmatan berkaitan hartanah untuk pertumbuhan,” katanya.

Menurut Dr Zaliha, selain itu, langkah tersebut juga akan mengurangkan hasil pendapatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) daripada kutipan bayaran pembangunan, serta meningkatkan harga hartanah dan kadar sewa, yang berpotensi menyebabkan golongan kurang berkemampuan (B40) dan golongan berpendapatan sederhana (M40) terpaksa berpindah ke kawasan pinggir bandar.

“Hakikatnya, permintaan terhadap perumahan di Kuala Lumpur masih wujud.

“Menjelang 2040, jumlah penduduk di ibu kota dijangka mencecah 2.35 juta, sekali gus memerlukan kira-kira 783,000 unit rumah baru.

“Bagi memastikan keseimbangan sosial di Kuala Lumpur, 40 peratus daripada rumah ini perlu bersifat mampu milik dan inklusif termasuk bagi warga emas, orang kurang upaya (OKU), belia, serta skim sewa subsidi bagi golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Dr Zaliha berkata DBKL kini melaksanakan kawalan pembangunan berasaskan data serta perancangan berasaskan kapasiti yang lebih berkesan berbanding moratorium.

“Langkah ini akan membantu menggalak pembangunan semula berorientasikan transit di kawasan strategik, mengawal pembesaran bandar secara tidak terkawal, serta menilai secara berterusan kapasiti infrastruktur dan kemudahan awam,” katanya.-28/8/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button