TAHUKAH ANDA

Malaysia hantar delegasi sertai pelayaran ke Gaza…

Sekretariat Sumud Nusantara Flotilla ke Gaza hari ini melepaskan kumpulan delegasi pertama mewakili Malaysia bagi menyertai inisiatif misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang dijadual berlayar dari Sepanyol pada 31 Ogos ini.

Misi tersebut digerakkan sebagai usaha advokasi dan solidariti antarabangsa, menuntut pengakhiran perang, kebuluran serta sekatan bantuan kemanusiaan ke atas Gaza.

Ketua Delegasi Malaysia, Datuk Dr Sani Araby berkata, penyertaan Malaysia dalam flotilla itu melibatkan gabungan masyarakat antarabangsa daripada 50 negara, termasuk dari Asia, Eropah, Amerika dan Afrika.

“Sekretariat Sumud Nusantara melepaskan kumpulan pertama delegasi Malaysia untuk melaksanakan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla.

“Misi ini sangat penting kerana melibatkan kumpulan antarabangsa dari pelbagai benua untuk kita laksanakan satu misi tanpa kekerasan, mendesak agar sekatan di Gaza dipecahkan, dan menuntut pengakhiran perang yang masih berlarutan tanpa penghujung,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Menurutnya, flotilla pertama akan dilepaskan dari pelabuhan di Sepanyol dan melibatkan puluhan kapal, dengan butiran lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa atas faktor keselamatan.

Delegasi pertama Malaysia kali ini disertai seramai 15 peserta daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk Cinta Salam Malaysia, Gagasan MYAQSA Defender serta beberapa organisasi lain.

Katanya, kumpulan kedua delegasi Malaysia dijangka akan berlepas pada 30 Ogos ini.

Dr Sani menegaskan, sudah tiba masanya solidariti terhadap Gaza diterjemahkan melalui tindakan nyata.

“Kita mahu dunia memberi tumpuan kepada Gaza.Kita desak kebuluran dihentikan segera, dan flotilla ini membawa mesej bahawa dunia tidak boleh lagi membiarkan isu berpanjangan ini berlarutan,” katanya.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia terus mendokong usaha tersebut sama ada secara langsung atau tidak langsung melalui doa, sokongan serta kempen kesedaran yang dijalankan NGO tempatan.

Sekretariat Sumud Nusantara menghimpunkan pelbagai organisasi masyarakat sivil termasuk MAPIM Malaysia, Cinta Gaza Malaysia (CGM), Cinta Salam Malaysia (CSM), Gagasan MYAQSA Defender dan banyak lagi.-28/8/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button