SUARA PEMBACA

RMK13 cermin keprihatinan Kerajaan MADANI…

Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Negara pada Isnin lalu mencerminkan keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat serta iltizam memacu pertumbuhan ekonomi negara dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Edward Linggu Bukut berkata dalam usaha mencapai kemajuan ekonomi negara, RMK13 perlu turut memberi tumpuan terhadap pembangunan sosio-ekonomi luar bandar khususnya di kawasan-kawasan kampung.

“Kita berikan mereka (penduduk kampung) peruntukan, insentif dan kemahiran bagi memulakan perniagaan. Ini akan dapat membantu mereka menaikkan taraf ekonomi dan daya saing.

“Selain kita mengadakan Satu Daerah Satu Industri, kita juga boleh memperluas Satu Kampung atau Mukim Satu Industri agar penduduk luar bandar dapat memahami hasrat kerajaan untuk memperkasa ekonomi negara,” katanya.

Selain itu, menurut Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Setia Salehudin Saidin, komitmen Kerajaan MADANI bagi meningkatkan mutu perkhidmatan ke arah amalan tatakelola terbaik diterjemahkan menerusi penggubalan kira-kira 85 Rang Undang-Undang (RUU) baharu.

“Kalau kita lihat peruntukan turut disalurkan bagi membangunkan tatakelola dengan memperkenalkan kira-kira 85 Rang Undang-Undang bertujuan menyelaraskan pentadbiran kerajaan.

“Pada masa sama, jika kita teliti semula adakah RUU lapuk akan diketepikan atau disemak semula. Ini bagi memastikan hasrat kerajaan dan rakyat dapat dicapai,” jelas beliau.

Bagi merealisasikan reformasi perumahan pula khususnya di Sabah dan Sarawak, Ahli Dewan Negara, Tuan Abun Sui Anyit berpandangan perkara itu dapat dicapai sekiranya kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri menjalinkan bekerjasama erat.

“Kerana ia melibatkan geran jadi kerajaan negeri kena proaktif untuk menyediakan geran kepada penduduk pedalaman terutamanya di Sarawak. Jadi geran tanah itu agak sukar didapati. Saya cadangkan geran itu segera dikeluarkan supaya program perumahan dapat dinikmati mereka.

“Selain itu, isu yang perlu diselesaikan adalah pertindihan geran antara syarikat perladangan dengan penduduk pedalaman dan rumah panjang,” ujar beliau.

Pada Isnin lalu, Perdana Menteri membentangkan RMK13 di Dewan Negara selepas diluluskan di peringkat Dewan Rakyat pada Khamis minggu lalu.-28/8/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button