FOKUS

Rang Undang-Undang PSB: Jangan buat andaian ini strategi Cina untuk rampas hak Melayu-PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sidang Dewan Rakyat pada Khamis terus pertahan cadangan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dengan menegaskan jangan buat andaian ini strategi Cina untuk rampas hak Melayu.

Katanya beliau bukan boneka yang sanggup diperalat sesiapa untuk mengusir orang Melayu bagi memberi laluan kepada orang Cina mengambil alih perumahan mereka.

“Saya duduk sini. Saya mesti pertahankan hak asasi orang Melayu yang merupakan majoriti,” ujarnya.

Beliau menegaskan demikian semasa Waktu Pertanyaan Perdana Menteri ketika menjawab soalan tambahan ketua pembangkang Hamzah Zainudin (Perikatan Nasional-Larut), yang menggesa kerajaan menangguhkan bacaan kali kedua PSB yang dijadualkan lewat hari ini.

Serentak dengan itu Anwar beri jaminan kerajaan bersedia untuk melakukan penyesuaian dan meminda Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) termasuk dari segi nilai ambang peratus persetujuan pemilik hartanah yang menimbulkan pertikaian.

Katanya kerajaan sedar bahawa setiap perundangan yang dicadang tidak semestinya sempurna.

“Saya tegaskan (di sini Yang Berhormat) Larut, saya terima baik (kerana) tak mungkin satu-satu perundangan itu paling sempurna, (jadi berilah) bagi cadangan dan kalau perlu kita pinda (RUU PSB di peringkat) berikutnya.

Menurut Anwar, pentadbirannya mahu rang undang-undang baharu itu dikuatkuasakan untuk membantu orang Melayu bandar yang hidup dalam keadaan perumahan yang daif.

Sambil mengakui kemungkinan wujud beberapa kelemahan dalam RUU PSB, namun menurut perdana menteri, ia bukanlah alasan untuk pihak tertentu membantahnya.

Katanya, mereka sebaliknya perlu mengemukakan syor untuk penambahbaikan RUU PSB 2025, bukannya membuat dakwaan kononnya kerajaan mahu merampas rumah didiami rakyat bagi memberi laluan kepada pembangunan semula.

Perdana Menteri turut berkongsi mengenai pengalaman melihat sendiri keadaan perumahan yang teruk di Flat Seri Perlis di ibu negara.

“Soal nilai ambang (yang menjadi antara pertikaian dalam RUU berkenaan) boleh dibincangkan masa perbahasan, tetapi saya mahu sebut pengalaman peribadi dan saya percaya Yang Berhormat boleh lihat seperti rumah Sri Perlis di Kuala Lumpur, (dilengkapi) satu bilik, teruk benar.

“Jika ada cadangan lain (untuk tambah baik RUU PSB 2025), kemukakan tetapi jangan (dakwa) seolah-olah mahu rampas (rumah).

“Rampas apa… saya pergi tengok rumah sebilik (didiami) dua keluarga dengan satu daripadanya ada enam anak.

“Tanggungjawab kita mencari kaedah membangunkan semula (rumah) dengan tiga bilik minimum untuk satu keluarga. Ya mungkin ada beberapa kelemahan, tetapi kita cuba betulkan. Namun, (bukan) hanya menyerang tanpa (syor penambahbaikan),” katanya.

Di bawah RUU PSB yang dicadangkan, bangunan di bawah 30 tahun memerlukan kelulusan 80 peratus sebelum boleh dibangunkan semula, manakala premis lama hanya memerlukan persetujuan sekurang-kurangnya 75 peratus pemilik.- 28/8/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button