
Pembentangan Rang Undang-Undang PSB ‘tersangkut’….
Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul telah ‘sekat’ Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sewaktu beliau sedang buat bacaan kali kedua untuk bentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) di sidang Dewan Rakyat petang Khamis.
Insiden ini berlaku pada jam 5.36 petang.
Speaker itu yang sedang pengerusikan sidang dewan ketika itu kata bahawa pembentangan tidak dapat diteruskan kerana perlu mematuhi peraturan waktu habis sidang yang ditetapkan.
Katanya pembentangan cadangan RUU akan disambung semasa sesi sidang akan datang.
Sesi akan datang itu dijadual berlangsung Oktober ini.
Hari ini adalah hari akhir sesi sidang kali ini yang berlangsung selama 24 hari bermula pada 21 Julai lalu.
Dalam bahasa mudah… ini bermakna pembentangan rang undang undang yang kontrovesial itu tertangguh.
Sebelum ini ramai kalangan Ahli Parlimen termasuk juga dari blok kerajaan telah meminta tangguh dulu pembentanganya.
Ahli Parlimen pembangkang kata mereka akan tentang habis habisan pembentangan rang undang -undang itu termasuk sanggup digantung dari hadiri sidang dewan selama enam bulan.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan pula kata pada media ia wajar ditangguhkan mengambil kira kebimbangan serta bantahan dibangkitkan banyak pihak.
Beliau mengakui, perkara yang menjadi isu hangat itu turut dibincangkan dalam kalangan Ahli Parlimen BN.
“Saya telah mengadakan mesyuarat dengan semua Ahli Parlimen BN, dengan semua menyatakan kebimbangan serta mahu supaya RUU itu ditangguhkan,” katanya.
Jelas Ahli Parlimen Rembau itu, RUU berkenaan perlu dilihat semula dengan memberi ruang perbincangan secara menyeluruh membabitkan semua pihak.
“Saya berpandangan RUU Pembaharuan Semula Bandar ini yang telah pun dibaca untuk kali pertama (di Dewan Rakyat) dicadangkan untuk (dinilai semula dari segi) kelompangan.
RUU PSB 2025 itu sudah dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Nga Kor Ming sebelum ini.
Ia bertujuan memastikan kawasan perumahan lama yang uzur, daif dan usang dapat dibangunkan semula secara lebih terancang, adil serta inklusif demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan bandar yang mampan.
Sementara itu semasa bacaan kali kedua RUU berkenaan di Dewan Rakyat pada petang Khamis,menteri itu beritahu kerajaan bakal memperkenalkan pindaan terhadap beberapa peruntukan di bawah RUU itu bagi menangani kebimbangan mengenai komposisi demografi dan ambang persetujuan daripada pemilik hartanah.
Katanya kerajaan mengambil berat akan keresahan yang dibangkitkan pelbagai pihak mengenai komposisi penduduk di sesebuah kawasan yang terlibat dengan pembaharuan semula bandar.
“Lanjutan daripada itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan meminda fasal ini (fasal 18) dengan sewajarnya bagi menjamin demografi di kawasan terlibat.
“Ia tertakluk perincian yang akan dibincangkan bersama Jabatan Peguam Negara,” katanya.
Ahli Parlimen Teluk Intan itu memaklumkan, kementeriannya juga akan meminda fasal 19 RUU berkenaan berkait dengan nilai ambang persetujuan yang diperlukan daripada pemilik atau penghuni asal sebelum projek pembaharuan bandar dapat dijalankan.
Katanya, nilai ambang persetujuan itu akan dinaikkan sebagai menghormati pandangan Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi yang diberikan dalam sesi perbincangan khas pada 21 Ogos lalu.
“Kesemua nilai ambang ini diseragamkan ke paras 80 peratus tanpa mengira usia bangunan. Dengan kenaikan nilai ini daripada 75 peratus, masih dalam lingkungan yang wajar untuk memberi ruang pertimbangan dalam melaksanakan projek pembaharuan semula bandar secara berintegriti dan adil untuk pihak-pihak yang terlibat di samping mengambil kira isu hak milik dalam kalangan 20 peratus penduduk,” katanya.
Menurut Nga Kor Ming, aspek lain yang diambil kira ialah isu hak milik yang dicagar atau digadai bagi pembiayaan kewangan atau seumpamanya, isu hak milik yang mengalami pinjaman tidak berbayar daripada institusi kewangan, isu suratan hak milik yang belum atau tidak dikeluarkan kepada pembeli atau pemegang perjanjian jual beli serta isu pemilik asal tidak dapat dikesan.- 28/8/2025