TAHUKAH ANDA

Malaysia sertai misi bebaskan Gaza… belayar dari Gaza

Sebanyak 24 kapal flotilla kemanusiaan berlayar dari Pelabuhan Barcelona semalam, menyatukan lebih 1,000 peserta dari 44 negara termasuk 15 wakil Malaysia dalam misi mendesak pembebasan Gaza.

Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla to Gaza itu disertai Sekretariat Sumud Nusantara yang diterajui Cinta Gaza Malaysia (CGM), MAPIM Malaysia, Cinta Salam Malaysia serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan lain.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara, Nadir Al-Nuri, menegaskan pelayaran ini adalah simbol kebangkitan global menolak pengepungan Gaza.

“Dari Barcelona hingga ke Kuala Lumpur, suara solidariti ini menuntut agar kebuluran dihentikan, perang di Gaza diberhentikan dan koridor kemanusiaan segera dibuka,” katanya dalam kenyataan MAPIM.

Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Malaysia merangkap Chef de Mission delegasi Malaysia, Datuk Sani Araby, pula menyifatkan penyertaan Malaysia membuktikan komitmen negara bukan sekadar retorik, tetapi keberanian bertindak di peringkat antarabangsa.

“Jalur Gemilang berkibar megah di Barcelona. Dunia menghormati Malaysia kerana datang dengan suara Nusantara yang membawa keadilan buat Gaza,” ujarnya.

Meskipun berdepan risiko besar termasuk kemungkinan tindakan keras rejim Israel, misi flotilla ini diperkukuh dengan strategi diplomatik, sokongan undang-undang serta penyertaan sukarelawan berpengalaman. Kapal-kapal berkenaan bukan sahaja membawa bantuan asas, malah mesej solidariti bahawa dunia tidak lagi boleh berdiam diri.

Fasa seterusnya menyaksikan kumpulan kedua delegasi Malaysia berlepas dari Itali bersama delegasi antarabangsa pada 4 September, manakala kumpulan ketiga kini berada di Tunisia.

Delegasi Malaysia turut menyeru rakyat agar terus mendoakan keselamatan misi ini dan menyokong usaha berterusan membebaskan Gaza.

“Hari ini kapal kami belayar, esok suara solidariti Malaysia akan bergema di Gaza,” tegas kenyataan bersama mereka.-2/9/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button