TAHUKAH ANDA

Jurang pendapatan antara kaya dan miskin penyebab utama demo Indonesia

Jurang pendapatan antara orang kaya dan miskin adalah antara dua punca utama gelombang demonstrasi yang melanda Indonesia sejak akhir Ogos dan mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan orang sehingga Rabu.

Selain daripada tekanan ekonomi, rakyat negera itu juga semakin hilang kepercayaan terhadap kerajaan yang dipimpin Presiden Probowo Subianto.

Menurut Peneliti kanan Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), Deni Friawan, menjelaskan bahawa protes yang bermula di Kabupaten Pati akibat isu cukai tanah dan bangunan telah merebak ke Jakarta, Makassar dan beberapa bandar lain, disertai insiden kekecohan, kerosakan harta awam dan kematian seorang penghantar makanan, Affan Kurniawan.

“Ini bukan sekadar luahan emosi spontan. Ia adalah kesan berterusan daripada rasa kecewa rakyat terhadap dasar fiskal yang dianggap tidak adil dan beban sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.

Menurut CSIS, walaupun pertumbuhan ekonomi Indonesia kekal sekitar lima peratus, agihan pendapatan masih tidak seimbang.

Indeks Gini berada pada paras 0.39, menunjukkan jurang pendapatan yang ketara antara golongan kaya dan miskin.

Ramai rakyat berada hanya sedikit di atas garis kemiskinan dan mudah terjejas oleh inflasi serta ketidakstabilan pekerjaan.

Harga beras yang mencecah Rp18,000 (RM4.64) sekilogram turut membebankan isi rumah, bertentangan dengan kenyataan rasmi bahawa bekalan makanan asas adalah mencukupi.

Deni turut menyatakan bahawa walaupun kadar pengangguran terbuka rendah, pemutusan hubungan kerja semakin meningkat dan sebahagian besar pekerjaan berada dalam sektor tidak formal dengan pendapatan yang tidak menentu.

Krisis kepercayaan terhadap kerajaan semakin mendalam apabila rakyat diminta berjimat dan membayar cukai, sedangkan pemimpin dilihat menikmati kemudahan mewah, kenaikan elaun, serta memegang jawatan berganda dalam syarikat berkaitan kerajaan.

“Cukai sepatutnya menjadi kontrak sosial antara rakyat dan negara. Tetapi apabila keadilan fiskal tidak dirasai, kontrak itu menjadi rapuh,” tegas beliau.

CSIS menggesa kerajaan agar segera memulihkan kepercayaan rakyat melalui ketelusan belanjawan, pengurangan pembaziran, serta penambahbaikan perkhidmatan awam dan dasar sosial.-3/9/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button