FOKUS

Cadangan sambung jajaran ECRL ke Rantau Panjang masih peringkat awal perbincangan – PM

BEIJING – Cadangan untuk menyambung projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke Rantau Panjang, Kelantan, yang bersempadan dengan Thailand masih pada peringkat awal perbincangan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pasukan yang terlibat perlu meneliti butirannya, kos dan kaedah pembayaran. Berdasarkan ini merupakan kesinambungan, kosnya mungkin lebih rendah,” kata beliau kepada media Malaysia pada sidang media sebelum mengakhiri lawatan selama empat hari ke China.

Anwar berkata, perkara itu turut dibincangkan dengan Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri China, Li Qiang dalam pertemuan dua hala secara berasingan di sini semalam.

“Cadangan adalah ke arah itu, antara 20 dan 25 kilometer ke Rantau Panjang berhampiran sempadan Thailand,” kata beliau.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berharap cadangan tersebut dapat direalisasikan dalam usaha kerajaan untuk membangunkan kawasan itu.

“Kawasan dari Kota Bharu ke Rantau Panjang, terutamanya Rantau Panjang, agak kurang membangun.

“Kami berharap dengan adanya stesen ini, ekosistem pembangunan dan perniagaan dapat ditingkatkan,” kata beliau.

Bulan lepas, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memberitahu Dewan Rakyat bahawa perbincangan lanjut dengan China dan kontraktor utama, China Communications Construction Co Ltd (CCCC) adalah perlu berikutan projek tersebut kini dalam pembinaan dan jajaran landasan ke Rantau Panjang adalah sebahagian daripada pakej projek.

Dalam perkembangan lain, Anwar mengesahkan bahawa Li akan mewakili China pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada akhir bulan depan. – Bernama – 3/9/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button