FOKUS

PBB semakin mengecil…perlu dirombak atau hilang kredibiliti

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendirian bahawa perlu ada reformasi dan perubahan terhadap sistem antarabangsa, selepas situasi semasa seperti jenayah perang rejim Zionis, serta ketidakadilan perdagangan khususnya untuk negara kecil.

Mengambil contoh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Perdana Menteri menegaskan, organisasi itu seharusnya tidak terus terikat dengan perjanjian asal penubuhan dan hanya mewakili kepentingan negara tertentu sahaja.

Kata Anwar, pandangan dan kritikan tersebut bukan eksklusif, kerana ia juga telah diulangi oleh beberapa negara lain sebelum ini.

Setiausaha Agung PBB, António Guterres pun dia sebut tentang keperluan PBB untuk buat beberapa perubahan dan reform, kita bicara tentang demokrasi penyertaan sepatutnya lebih adil, lebih mewakili semua kepentingan dan tidak terikat dengan perjanjian asal penubuhannya.

“Orang bicara soal reform, United Nations need to be more democratic, more representative itu sahaja… dan kemudiannya oleh kerana keadaan sistemnya begitu dan dia tidak ada upaya menyelesaikan, jadi pengaruhnya kian mengecil.

“Jadi saya suarakan itu sahaja dan baiknya itu kerana didengar oleh Setiausaha Agung dia sendiri,” katanya lagi.

Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang media bersama wartawan Malaysia sempena penghujung lawatan kerja empat hari beliau ke Tianjin dan Beijing yang bermula 31 Ogos lepas.

Turut menyertai sidang media tersebut ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Anwar tiba di sini sebagai tetamu khas Presiden China, Xi Jinping yang juga Pengerusi Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) 2025.

Untuk rekod ini merupakan kali pertama Malaysia dijemput untuk menghadiri sidang kemuncak pertubuhan tersebut.

SCO merupakan organisasi serantau yang ditubuhkan oleh China pada 2001 dan terdiri daripada beberapa kuasa besar nuklear dunia seperti Rusia, India, dan Pakistan selain beberapa negara lain sebagai negara anggota dan pemerhati.

Fokus utama organisasi tersebut menjurus kepada kerjasama menangani isu keselamatan serantau, ekonomi, hubungan diplomatik serta pertukaran budaya dan pendidikan.

Dalam ucapannya di SCO, Perdana Menteri mengambil peluang untuk mengkritik PBB secara terbuka di hadapan pemimpin dunia, termasuk Setiausaha Agung PBB Antonio Gutteres, kerana gagal melaksanakan agenda reformasi urus tadbir badan tersebut.

Beliau berkata, wujud defisit kepercayaan terhadap sistem antarabangsa khususnya PBB kerana gagal dalam mengawal ketidakadilan dalam perdagangan, struktur kewangan, serta usaha menangani perubahan iklim.

Ditanya mengenai kemungkinan Malaysia akan menyertai SCO pada masa akan datang, Mohamad berkata, tiada keperluan untuk berbuat demikian memandangkan peranannya tidak jauh beza dengan ASEAN.

“Untuk setakat masa ini, kita tidak ada keperluan, bagi pendapat saya, untuk kita menjadi anggota pertubuhan SCO tersebut. Kerana SCO itu semua peringkat negara China dan membawa sampai ke Asia Tengah.

“It is more of Central Asia punya grouping. Dan kita sudah ada ASEAN. Dan ASEAN itu perlu diperkasakan lagi… dan kita boleh mengadakan hubungan baik antara ASEAN dan juga SCO sebagai blok dengan blok,” kata Menteri Luar itu lagi.-3/9/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button