TAHUKAH ANDA

Polis Indonesia langgar mati pemandu grab hingga cetus rusuhan ganas dipecat

Ketua kepada tujuh anggota polis Indonesia yang berada dalam truk polis yang melanggar mati seorang pemandu Grab yang kemudiannya mencetutkan demonstrasi ganas di republik itu dipecat daripada pasukan keselamatan pada Rabu.

Komisaris Polisi (Kompol) Cosmas Kaju Gae, yang terbabit dalam insiden melanggar pemandu Grab, Affan Kurniawan hingga maut di tapak rusuhan minggu lalu, dikenakan tindakan Pemberhentian Dengan Tidak Hormat (PTDH) selepas didapati melanggar Kod Etika Profesi Polis (KEPP).

Memetik laporan Kompas, keputusan itu diumumkan dalam prosiding Komisi Kod Etika Profesi Polis (KKEP) yang dijalankan Bahagian Profesi dan Keselamatan (Propam) di Gedung Transnational Crime Coordinating Center (TNCC), hari ini.

“Pemberhentian dengan tidak hormat sebagai anggota Polri,” kata Ketua Majlis KKEP ketika membacakan keputusan.

Cosmas dalam reaksinya ketika prosiding tidak dapat menahan air mata, sambil menegaskan beliau tidak mempunyai niat untuk mencederakan atau membunuh sesiapa.

“Dengan kejadian atau peristiwa itu bukan menjadi niat (saya). Demi Tuhan, bukan ada niat untuk membuat orang maut,” ujarnya.

Menurut fakta kes, pada 28 Ogos lalu, kenderaan taktikal (rantis) Brimob yang dinaiki Cosmas melanggar penunggang e-hailing berkenaan hingga mengakibatkan kematian.

Ketika itu, Cosmas duduk di bahagian penumpang hadapan manakala kenderaan dipandu Bripka Rohmat. Kedua-duanya diklasifikasikan melakukan pelanggaran berat, dengan prosiding terhadap Bripka dijadualkan berlangsung esok.

Sementara itu, lima lagi anggota Brimob yang berada di bahagian belakang kenderaan — Aipda MR, Briptu D, Bripda M, Bharaka J, dan Bharaka YD — didakwa atas pelanggaran sederhana.

Prosiding terhadap lima tertuduh pula akan dijalankan dalam masa terdekat.-4/9/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button