
Anwar kongsi detik santai bertemu Kim Jong Un
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara kebetulan bertemu pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, semasa menghadiri perarakan memperingati ulang tahun kebangkitan rakyat China dan penamatan Perang Dunia Kedua di Dataran Tian’anmen, Beijing, hari ini.
Gambar pertemuan itu dikongsikan beliau di laman sosial Facebook miliknya.
Terdahulu, Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, memenuhi jemputan Presiden China, Xi Jinping untuk menyaksikan perarakan itu, yang turut disertai oleh 26 pemimpin dunia lain.
“Saya dan Azizah memulakan hari terakhir di China dengan memenuhi jemputan Presiden Xi Jinping untuk menyaksikan perarakan memperingati ulang tahun kebangkitan rakyat China dan penamatan Perang Dunia Kedua di Dataran Tian’anmen, Beijing.
“Bersama barisan 26 pimpinan dunia, kami diberi penghormatan untuk menyaksikan perarakan ini dari Gerbang Tian’anmen, monumen bersejarah yang pernah menjadi pintu masuk utama ke Kota Larangan sewaktu Dinasti Ming dan Qing,” katanya.
FOTO: FB Anwar Ibrahim
Menurut Perdana Menteri, perarakan itu bukan sekadar mempamerkan aset ketenteraan, sebaliknya sarat dengan simbolik penentangan terhadap kezaliman, penindasan, pencerobohan, kerakusan kuasa, kolonialisme dan imperialisme yang pernah menjadi titik hitam dalam sejarah peradaban manusia.
“Namun selepas 80 tahun tamatnya Perang Dunia Kedua, dunia masih lagi dihantui penindasan dan kekejaman yang berlaku secara terbuka, tanpa penentangan daripada kuasa-kuasa besar yang sering mendabik dada tentang demokrasi dan hak asasi manusia.
“Situasi ini mengingatkan kita bahawa keamanan sejati hanya akan tercapai dengan keberanian dan keyakinan teguh untuk menolak kezaliman dalam apa jua bentuk,” tambahnya.
Selepas perarakan, Anwar bersama isteri dan pimpinan dunia lain dijemput menghadiri jamuan tengah hari rasmi yang dihoskan oleh Presiden Xi di Great Hall of the People.
Anwar turut menyampaikan penghargaan kepada Xi Jinping atas jemputan dan pengalaman bersejarah itu.
“Terima kasih, Presiden Xi, atas pengalaman bersejarah yang cukup bermakna,” ujarnya.-4/9/2025