
Indonesia umum bantuan untuk mangsa terkorban, cedera semasa demo
Kerajaan Indonesia mengumumkan bantuan kewangan kepada mangsa yang terkorban dan cedera dalam siri demonstrasi hujung Ogos lalu, lapor portal Tempo.
Menteri Sosial, Saifullah Yusuf berkata, setiap keluarga mangsa yang maut akan menerima 15 juta rupiah (kira-kira RM4,350).
Manakala, mangsa yang parah pula akan menerima lima juta rupiah (kira-kira RM1,450).
Katanya, bantuan itu diagihkan menerusi program bantuan sosial (bansos) adaptif.
“Bansos adaptif memberi perlindungan bukan sahaja kepada mangsa bencana alam tetapi juga bencana bukan alam seperti demonstrasi,” katanya.
Selain bantuan kewangan, kerajaan turut menyediakan sokongan pemulihan, rehabilitasi sosial dan program pemerkasaan mangsa.
Dalam pada itu, Kementerian Sosial mengesahkan tujuh orang dilaporkan maut dan sembilan lagi parah akibat demonstrasi terbabit.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pengurus Besar Nahdlatul Ulama (PBNU) berkata, penyaluran bantuan sudah bermula.
Jelasnya, bantuan untuk mangsa yang terkorban akan diserahkan kepada waris, manakala mangsa cedera akan menerima secara terus.
Sebelum ini, demonstrasi bermula pada 25 Ogos lalu di Jakarta dan merebak ke beberapa wilayah lain.
Orang ramai menuntut pembatalan kenaikan elaun ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) yang disifatkan tidak selari dengan keadaan ekonomi negara.
Protes semakin memuncak selepas penunggang e-haling (Ojek), Affan Kurniawan, maut digilis kenderaan taktikal Briged Mobil (Brimob) pada 28 Ogos lalu.
Tempo melaporkan, setakat awal September, 10 orang terkorban selain berlaku pencerobohan rumah ahli parlimen dan kediaman Menteri Kewangan, Sri Mulyani serta vandalisme kemudahan awam.-5/9/2025