
Reaksi PM bila ditanya mengenai protes dan rusuhan ganas di Indonesia…
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat ditanya wartawan mengenai kebimbangan beliau jika protes dan rusuhan ganas yang berlaku di Indonesia baru baru ini akan turut berlaku di negara ini.
Ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Bandar Baru Seri Petaling dekat Kuala Lumpur beliau mengingatkan rakyat bebas menyuarakan pendapat dan membuat protes tetapi tindakan melampau seperti membakar rumah pemimpin atau menyebarkan fitnah tidak boleh diterima.
“Kita tidak menghalang, tapi mahu protes isu apa? Sedangkan sekarang elaun menteri dipotong, gaji menteri tidak ambil, minyak turun, peruntukan kepada rakyat bertambah dan lain-lain sudah diumumkan dan kita boleh pertimbangkan dalam belanjawan.

“Tetapi untuk memperoleh semua itu… negara kena aman, kerja kena kuat dan ekonomi kena berkembang,” katanya.
Protes dan rusuhan ganas meletus di Jakarta dan diikuti beberapa bandar besar ekoran kemarahan rakyat terhadap isu elaun mewah diterima Ahli Parlimen.
Ia kemudian meledak lebih teruk kerana kejadian kematian seorang pemandu p-hailing,Affan Kurniawan dilanggar dan digilis kereta prisai polis depan orangramai di sebatang jalan di tengah Jakarta.
Affan bukan peserta demonstrasi tetapi kebetulan lalu di jalan itu untuk ambil pelanggannya.
Situasi diburukan lagi dengan tindak tanduk ‘menyerang’ dan mencuri barangan di rumah beberapa Ahli Parlimen yang didakwa buat kenyataan yang menyakitkan hati rakyat.
Perdana Menteri menjelaskan, beliau menekankan keperluan untuk membezakan antara kritikan membina dan tuduhan berniat jahat walaupun rakyat mempunyai hak untuk menyuarakan kebimbangan atau rasa tidak puas hati terhadap dasar kerajaan.

Anwar menegaskan fokus utama kerajaan ialah memastikan negara kekal aman dengan ekonomi terus berkembang serta memastikan pelaburan masuk.
Katanya, jika kestabilan negara tergugat, rakyat juga akan terjejas.
“Tidak ada salah rakyat mengemukakan apa jua pandangan tetapi jangan hingga bakar rumah ketua (pemimpin) ataupun yang membuat tindakan yang melanggar undang-undang.
“Jika itu berlaku, polis ambil tindakan. Ada orang kata ini mengekang kebebasan, itu tidak betul.
“Begitu juga fitnah, tuduhan kononnya sokong Israel atau jadi ejen Israel, itu semua biadab, tidak berakhlak,” katanya.
Mengenai perkembangan di Indonesia dan Thailand, Anwar berkata kestabilan politik di Indonesia dan Thailand adalah penting untuk perpaduan ASEAN dan hubungan dua hala.
“Kita mendoakan yang terbaik untuk Indonesia, bukan sahaja sebagai rakan sesama ASEAN tetapi juga sebagai sahabat dan keluarga yang rapat.
“Thailand pula, kita harap pembentukan kerajaan baharu dapat disegerakan dan apabila situasi sudah teratur, saya akan menghubungi pemimpin mereka,” katanya.- 5/9/2025