
Dr Jessie Hiu,pakar patologi inkues kes Zara Qairina terima ancaman netizen
Bukan rahsia lagi ada kalangan netizen yang tidak puashati dan pertikai keterangan pakar patologi forensik, Dr Jessie Hiu dalam inkues kes Zara Qairina Mahathir.
Malah sudah ada yang buat ancaman terhadap pakar patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE) yang merupakan orang pertama beri keterangan pada inkues yang diadakan di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.
Inkues selama 19 hari itu berlangsung pada 3 dan 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September serta 22 hingga 30 September.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda telah mengesahkan Dr Hiu ada buat laporan polis mengenai ancaman yang beliau terima.
Katanya laporan itu diterima petang Jumaat,semalam.
“Dalam laporan itu, Dr Jessie menyatakan beliau dimaklumkan oleh Pengarah Hospital Queen Elizabeth mengenai ancaman berkenaan,” katanya.
Peguam Hamid Ismail, yang mewakili ibu Zara Qairina pula menggesa orang ramai menerusi laman facebook agar menghormati Dr Hiu.
“Hormatilah Dr Jessie Hiu. Menghina dan memperlekehkan kepakarannya tidak memberi manfaat kepada sesiapa. Kami akan meneruskan pemeriksaan terhadap beliau minggu depan,” tulisnya.
Dalam keterangan beliau semasa prosiding inkues Dr Hiu menolak kemungkinan Zara Qairina yang ditemui tidak sedar diri dekat bangunan asrama sekolahnya pada pagi 16 Julai ditolak atau diserang sehingga jatuh dari tingkat tiga asramanya.
Beliau yang menyambung keterangannya pada hari kedua inkues Khamis lalu menolak kedua-dua andaian berkenaan selepas mengambil kira hasil pemeriksaan di lokasi Zara Qairina dijumpai tidak sedarkan diri.
Menjawab pertanyaan Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II, Datuk Badiuszaman Ahmad selaku Pegawai Pengendali inkues kematian arwah, Dr Hiu berkata, ada besar kemungkinan Zara Qairina melompat atau menghayunkan diri dengan bergayut pada jeriji besi tergantung dari atas tembok koridor asrama itu.
Namun, beliau menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan sama ada Zara Qairina melompat dengan kehendaknya sendiri.
Keterangannya mencetuskan kritikan, dengan ramai pengguna media sosial mempersoal hasil penemuannya serta kelayakannya, malah ada yang melemparkan kata-kata hinaan.
Dr Hiu, 58, yang telah berkhidmat di HQE sejak 1998, memiliki ijazah perubatan dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan ijazah sarjana dalam bidang patologi dari Universiti Malaya.
Beliau juga ahli Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Perubatan dan Sains Forensik Malaysia, serta Persatuan Undang-Undang, Perubatan dan Sains Indo-Pasifik.
Pakar tersebut menjalankan dan menyelia antara 100 hingga 150 bedah siasat setiap tahun serta memberi keterangan sebagai saksi pakar antara 10 hingga 15 kali setahun di Mahkamah Majistret, Sesyen dan Tinggi di Sabah serta Labuan.
Sementara itu Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar beritahu wartawan di Kota Bharu hari ini bahawa jabatan itu akan memantau dan meneliti kandungan di media sosial termasuk siaran langsung yang mempertikai prosiding inkues Zara Qairina.
Belau menjelaskan tindakan itu bagi memastikan sama ada kandungan yang tular berhubung inkues tersebut boleh menjurus kepada kesalahan menghina mahkamah atau mengganggu kelancaran prosiding.
“Kita akan kaji dahulu semua kandungan yang tersebar di media sosial.
“Saya tidak mahu komen secara terburu-buru dan akan teliti perkara ini terlebih dahulu,” katanya.
Beliau menegaskan sebarang tindakan hanya akan dibuat selepas penelitian mendalam kerana prinsip utama Jabatan Peguam Negara ialah memastikan prosiding mahkamah tidak terjejas.- 6/9/2025