KEMBARA

Sultan Pahang cadang Air Borneo wujudkan penerbangan Kuching-Kuantan

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan minat baginda terhadap penubuhan syarikat penerbangan baharu Sarawak, Air Borneo.

Titah baginda, perkhidmatan itu kelak berpotensi menghubungkan Pahang, Sarawak dan Melaka melalui laluan penerbangan terus.

Titah baginda, cadangan itu bukan sahaja mampu memperkukuh hubungan strategik antara tiga lokasi berkenaan, malah mempererat silaturahim rakyat di samping merancakkan sektor pelancongan serta kebudayaan.

“Beta ingin memanjangkan hasrat kepada Tuan Yang Terutama Sarawak (Yang di-Pertua Negeri Sarawak), jika diizinkan Allah ingin beta mencadangkan kalau Air Borneo yang baharu ditubuh boleh merapatkan hubungan lebih akrab dengan adanya penerbangan daripada Kuching ke Kota Bandaraya Kuantan dan juga ke Kota Bandaraya Melaka.

“Saya harap Tuan Yang Terutama fikir-fikirlah. Sekurang-kurangnya dua kali seminggu pun dah cukup. Boleh kita orang Pahang pergi ke sana, ke Kuching dan orang Sarawak datang ke Pahang. Ini dapat mengeratkan silaturrrahim,” titah Sultan Abdullah.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan penutupan Temasya Warisan Pahang 2025 di Muzium Seni Kontemporari Pahang, di sini, semalam.

Turut berangkat tiba, Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

Sebelum ini, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan Air Borneo sebagai pemangkin untuk menjadikan wilayah itu sebagai hab penerbangan serantau, sekali gus membuka peluang besar dalam sektor pelancongan, perdagangan dan budaya.

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button